PELAKON Rita Rudaini mengundang perhatian ramai apabila tiba bersama dua anak lelakinya di karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), malam ini.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 48, yang menggayakan dres panjang berona hitam senada dengan sut anak-anaknya, Airit Ryyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna teruja apabila puteranya bersetuju menemaninya.
“Saya yang ajak mereka ikut dan mereka berdua sedia menemani saya,” katanya semasa karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-36.
Majlis pengiktirafan untuk penggiat seni tempatan itu berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini.
Sementara itu, anak bongsunya iaitu Qaqa mengharapkan kejayaan mengiringi ibunya pada malam kemuncak ini.
“Saya harap mummy menang sebab dia ‘the best’ (terbaik) memang saya yang tawarkan diri untuk teman mummy malam ini,” ujarnya sambil tersenyum.
Malam ini, pelakon filem Mami Jarum itu bakal berentap dengan empat lagi calon finalis iaitu Alya Iman, Amyza Aznan, Puteri Sarah Liyana dan Bella Hanna dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular.