‘Redza Rosli jaga batas, nak pegang bahu saya pun minta izin’

PERTAMA kali bergandingan dalam drama Di Hatiku Ada Kamu, pelakon Hannah Delisha menyifatkan aktor Redza Rosli seorang yang pemalu dan menghormati pelakon berhijab.

Menurut Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, Redza turut meminta izin setiap kali melakonkan babak yang memerlukan dia memegangnya.

“Redza dia seorang yang tidak banyak cakap sama seperti saya, jadi kami agak kekok pada mulanya, tetapi selepas dua minggu sudah okey.

Mulanya saya bimbang juga kerana tidak pernah bekerja dengan Redza tetapi dia sangat profesional dan menghormati pelakon berhijab.

“Setiap kali ada babak yang memerlukan dia pegang seperti bahu saya, dia akan minta izin. Sebagai pelakon yang profesional selagi adegan tersebut masuk akal saya okey,” jelas Hannah.

Selain itu, kata Hannah mereka berdua telah berkahwin justeru sudah tentu lebih menjaga batasan meskipun pasangan masing-masing memahami karier sebagai pelakon.

“Saya terharu dengan keprihatinan Redza, dia sangat menjaga batasan. Mungkin juga dia pun telah berkahwin jadi, dia memang mengambil pendekatan untuk tidak terlalu dekat dengan saya di set penggambaran.

Cuma dalam drama ini kami adalah pasangan kekasih jadi tidak boleh juga terlalu kekok. Walaupun saya juga jenis pemalu dan tidak bercakap dengan orang, saya mengambil inisiatif untuk berbual bagi wujudkan keserasian.

“Alhamdulillah kami berdua profesional apabila bekerja dan boleh serasi. Selepas ini akan ada lagi drama gandingan kami berdua,” tutur Hannah.

Selain jalan cerita yang menarik terang aktres kelahiran Singapura itu, ini adalah kali pertama dia terlibat dalam karya untuk platform penstriman Viu.

“Jujurnya saya bimbang juga adakah orang boleh terima drama gandingan pertama saya dengan Redza.

Selepas episod pertama ditayangkan saya menerima komen positif dan perkara tersebut menaikkan lagi semangat saya untuk memberi yang lebih baik.

“Saya tidak mahu penonton bosan melihat saya melakonkan watak yang sama berulang kali, jadi dalam setiap drama saya cuba beri warna berbeza,” tutur Hannah tentang drama Di Hatiku Ada Kamu yang masih menjalani penggambaran sehingga pertengahan November ini.

Naskhah 26 episod terbitanGlobal Station Sdn. Bhd. itu bersiaran di platform Viu pada 10 Oktober lalu.

Selain Hannah dan Redza, drama yang diadaptasi daripada novel nukilan Rinsya Chasiani dengan judul sama itu turut dibintangi Danial Dashuki, Qistina Khaled, Datuk Seri Eizlan Yusof, Mas Anizan, Husna Mustaffa, Anas Ridzuan, Tiara Suraya, Natasha Roslan, Hazeeq Dean, Mikael Noah dan Raja Azmi.

Karya arahan Azri Izhar itu mengisahkan Rian Aulia yang mula tertarik dengan Adif, pemuda dengan masa lalu yang berliku dan mempunyai agenda tersendiri.

Meskipun melalui pelbagai rintangan, mereka akhirnya berkahwin tetapi Rian terpaksa berdepan kebenaran mengejutkan mengenai suaminya itu.  – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok