DIDAKWA memandu kereta jenama Range Rover hadiah daripada Nur Fazura, pelakon Fattah Amin menegaskan kenderaan tersebut adalah milik syarikat.
Akui Fattah atau Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, kereta itu diberikan syarikat kepadanya namun dibayar secara ansuran bulanan menerusi potongan gaji.
Dia (Fazura) hadiahkan kepada saya? Salah tu. Itu adalah kereta syarikat dan saya bekerja dengan syarikatnya. Semua orang sedia maklum.
“Gaji saya ditolak untuk membayar kereta tersebut. Jangan ungkit perkara tidak sepatutnya,” katanya selepas prosiding kedua permohonan perceraian difailkan Fazura hari ini.
Pernikahan pasangan sensasi yang sudah hidup bersama selama tujuh tahun terlerai selepas Fattah melafazkan cerai talak satu terhadap aktres terbabit di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pukul 9.45 pagi tadi.
Sebelum itu Fazura mengakui banyak pengorbanan dilakukan sepanjang berkahwin antaranya membelikan sebuah kereta mewah untuk keselesaan pelakon itu selain menyediakan rumah dan makan minum mereka.
Bukan hanya mengesahkan spekulasi lelaki terbabit curang, bahkan mendakwa Fattah juga culas dalam memberikan nafkah kepadanya dan anak mereka, Nur Fatima Aisya, 4.
Berikutan itu, Fattah meluahkan kekesalan atas tuduhan mengabaikan tanggungjawab tidak memberikan nafkah apabila mempunyai bukti transaksi wang menunjukkan dia menjalankan amanah sebagai suami dan bapa.
Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan.
“Mungkin dia rasa tak cukup untuk dia, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana sebagaimana yang kita semua tahu nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan mengikut kemampuan,” ujarnya. – HIBGLAM