“Jangan panjat kerusi Ica, ini bukan rumah kita.”
Itu antara teguran lembut pelakon, Fattah Amin kepada rakan hosnya dikenali sebagai Ica yang memanjat sofa untuk kelihatan dalam siaran langsung menjual kambing perap hari ini.
Kata Fattah, 35, Ica seharusnya menjaga adab dan kesopanan sebagai wanita Melayu.
“Tadi abang sudah cakap, jangan panjat kerusi.
“Ini bukan rumah kita. Adik-adik abang ini suka buat hal. Ini abang nak nasihat, kita orang Melayu, ada adab dan sopan,” katanya.
Dalam siaran langsung tersebut, Fattah turut berseloroh tindakan Ica memanjat sofa boleh mengurangkan jumlah hantarannya.
“Kalau datang rumah orang, jangan panjat-panjat kerusi. Tak elok.
“Nanti kalau orang nak masuk meminang macam mana. Orang potong duit hantaran sebab suka panjat kerusi,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia turut menghargai setiap pengalaman dan ilmu yang diperoleh selepas dua kali menyertai siaran langsung menjual kambing perap.
“Saya akan guna semua pengalaman bersiaran langsung dengan mereka untuk ‘live’ seorang diri, cuma tak tahu bila nak praktikkannya,” ujarnya.
Hari ini, siaran langsung tersebut mencatat 76,000 jumlah tontonan dan 38.9 juta tanda suka.
Menerusi siaran langsung pertama pada 17 Oktober lalu, mereka berjaya meraih 100,000 tontonan dan 44 juta tanda suka. – HIBGLAM