Rajinikanth stabil, PM India doa cepat sembuh

KEADAAN aktor popular filem Tamil iaitu Rajinikanth dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Chennai, India semalam.

Pelakon berusia 73 tahun itu perlu menjalani beberapa proses rawatan selepas dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu selepas mengadu sakit perut.

Lapor News18, jurucakap Hospital Apollo turut mengesahkan Rajinikanth sudah menunjukkan reaksi positif dan dibenarkan pulang.

Memandangkan beliau berstatus selebriti popular, hospital menetapkan kawalan keselamatan yang ketat agar tidak mengganggu kerja kakitangan perubatan.

“Kawalan keselamatan diperketatkan lagi terutama pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang gangguan,” kata jurucakap.

Sementara itu, hantaran yang dibuat menerusi aplikasi X, Perdana Menteri India Narendra Modi telah menghubungi ahli keluarga Rajinikanth dan mendoakan semoga pelakon tersebut cepat sembuh.

Perdana Menteri Narendra Modi sempat meluangkan masa menghubungi keluarga Rajinikanth bagi mengetahui keadaan kesihatan pelakon itu.

“Beliau turut mengharapkan agar proses pembedahan berjalan lancar dan kesihatan Rajinikanth kembali pulih,” kata tokoh politik K. Annamalai.

Difahamkan aktor terbabit perlu menjalani rawatan di hospital sama beberap hari sebelum dibenarkan keluar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok