Putus cinta, digam, Ogy bawa diri ke London

Pelakon serba boleh Fauziah Ahmad Daud mengakui pernah membawa hati lara ke London gara-gara putus cinta disebabkan hubungan yang tidak direstui.

Katanya yang mesra disapa sebagai Ogy, kerjayanya juga tersekat apabila digam selama empat tahun, sekali gus membuatkan kekecewaannya berganda.

“Bohong kalau saya cakap saya tidak rasa kecewa. Saya hanya manusia biasa. Saya kecewa dan pergi bercuti ke London bersama kawan-kawan rapat.

“Tidak mudah bagi saya. Empat tahun saya digam tidak boleh berlakon sedangkan perkara itu (bercinta) sudah berlalu. Takkanlah saya masih digam?

“Macam-macam perkara diperlakukan kepada saya. Nak kena bunuhlah, nak kena tembaklah. Apa sahaja saya tak lalui. Orang tak tahu kan?,” katanya.

Fauziah berkongsi perkara itu menerusi sesi wawancara dalam audio siar Tanah Berdaulat TV yang dihoskan bekas wartawan meja jenayah Utusan Malaysia, Syaril A Kadir, semalam.

Biarpun sedar mereka tidak sekufu, Ogy mengakui jatuh cinta dengan kekasihnya berikutan sikapnya yang merendah diri serta menghormati orang tuanya.

Akui pelakon juga penyanyi itu, lelaki terbabit juga menerima dirinya tanpa syarat bahkan menghormati dirinya sebagai wanita.

“Bila bertemu seseorang yang boleh menerima saya seadanya dan lelaki itu sangat merendah diri. Itu yang membuka hati saya. Saya ingat lagi kata mak saya, dia (lelaki) itu enggang, kita ini pipit (tidak sekufu).

“Saya dilahirkan dalam keluarga orang seni yang sering dipuji walaupun kadang-kadang kita tahu ia hanya palsu.

“Saya menyukai lelaki itu bukan kerana siapa diri dia tetapi sikap rendah diri yang dimiliki. Dia menghormati ibu bapa dan hormat saya sebagai wanita,” ujarnya.

Pada masa sama, aktres terbabit mengakui terpaksa memutuskan hubungan kerana maklum mereka tidak ditakdirkan untuk bersama sebagai suami isteri.

Kata pelakon filem Azura itu lagi, pada ketika itu dia mengutamakan maruah serta prinsip sebagai wanita berbanding cuma mempertahankan cinta yang tidak diketahui pengakhirannya.

“Saya harus katakan dalam cinta perlu ada pengorbanan tetapi apa yang saya bangga dengan diri saya, tiada siapa boleh beli Fauziah Ahmad Daud.

“Saya seorang yang berpegang teguh dengan prinsip. Bagi saya, maruah saya tidak boleh dibeli. Saya percaya kalau bukan milik saya, dia (jodoh) bukan milik saya,” kata.

Fauziah juga menegaskan tidak pernah menyesal mencintai lelaki berkenaan bahkan berlapang dada menerima ketentuan takdir berpisah dengan cinta pertamanya.

“Dia memang cinta pertama saya, saya tidak pernah menyesal kerana jatuh cinta kepadanya. Saya menangis sepuasnya.

“Ada masa kita perlu menghormati pihak itu (lelaki). Tak mengapa saya rasa terluka kerana saya tahu untuk memulihkan rasa kecewa saya,” ulasnya

Sebelum ini Ogy pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor versatil, Eman Manan pada 23 Disember 1990 namun mereka bercerai 13 tahun kemudian.

Perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata dan aktres terbabit mengambil seorang anak angkat dinamakan Nur Aminah Aishah, 17. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok