Prihatin, Jamal, Hattan bantu kumpul dana pelajar daif

DEMI mengumpul dana untuk membantu pelajar kurang bernasib baik, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu (TMESA) berbesar hati menganjurkan acara makan malam amal yang diberi nama Night Of Love & Compassion.

Acara ini bakal menggabungkan dua penyanyi legenda tanah air iaitu Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah yang sudah tentunya menjanjikan persembahan penuh jiwa menerusi rangkaian lagu-lagu mereka yang malar segar sehingga hari ini.

Night Of Love & Compassion bakal berlangsung pada 14 Disember ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

MUHAMMAD Nasir (tengah) yakin Jamal dan Hattan mampu menarik orang ramai untuk sama-sama menyumbang menjayakan misi mengumpul dana untuk pelajar memerlukan.

Menurut Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, persatuan itu sentiasa cakna dengan kebajikan pelajar terutamanya sekitar Besut.

Setiap tahun kita adakan pelbagai aktiviti demi kesinambungan persatuan kerana asasnya adalah untuk membantu anak-anak di sekolah sekitar Besut khususnya Sekolah Tengku Mahmud.

“Sepanjang dua dekad ini dengan keringat ahli-ahli pencen ini sahaja, sudah tentu kami kekurangan modal. Hasil perbincangan dengan ahli jawatankuasa, timbul idea untuk mengadakan acara Night Of Love & Compassion,” katanya.

Muhammad Nasir berkata, TMESA juga mahu meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang kini telah membantu lebih 1,000 pelajar yang rata-ratanya daripada keluarga daif.

“Program utama dan terbesar kami adalah ‘Sponsor A Student’ yang sudah berlangsung selama 16 tahun dan telah membantu lebih 1,000 pelajar miskin.

Kami temu duga sendiri pelajar-pelajar ini. Ada yang hanya makan nasi tiga kali seminggu. Mereka sangat daif tetapi minat untuk belajar. Ada yang ingin menjadi doktor, peguam, guru dan ustaz.

“Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 juta. Ia juga akan digunakan untuk membantu menambah baik kemudahan-kemudahan di sekolah,” katanya.

JAMAL dan Hattan berbesar hati menjadi sebahagian penggerak misi murni TMESA tahun ini.

Sementara itu, raja pop tanah air Jamal mengakui teruja dapat terlibat dalam program amal berkenaan, seterusnya menyumbang bakti agar pelajar-pelajar itu tidak tercicir dalam pelajaran.

Saya bersyukur kerana bakat kecil yang dikurniakan Tuhan ini dapat digunakan untuk mengumpul dana dan membantu mereka yang susah terutama pelajar sekolah.

“Diharapkan dengan suara saya ini dapat menarik minat orang ramai untuk turut sama membantu usaha ini,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi Hattan sentiasa menyokong penuh usaha amal sejak mula berkecimpung dalam dunia seni.

“Saya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya terlibat dalam program amal untuk membantu murid sekolah.

Sejak dahulu, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menolak jika ada undangan daripada pihak sekolah. Saya faham kerana saya juga pernah susah,” katanya.

Pada acara Night Of Love & Compassion ini, sebanyak 98 meja bakal dijual bermula pada harga RM4,000 hingga RM15,000.
Tempahan dan pembelian meja serta pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi nombor 018-223 9934 (Hatta) dan 019- 452 4567 (Nik Ahmad). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok