‘Perceraian rakan artis tak buat saya takut untuk kahwin’

MESKI industri hiburan digemparkan dengan kisah beberapa artis bercerai mutakhir ini, pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz tidak bimbang untuk meneruskan hasrat mendirikan rumah tangga.

Bagi Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 33, setiap pasangan akan berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Tidak terganggu ataupun beri kesan kepada saya. Setiap orang melalui bermacam kesukaran hidup.

Saya sendiri tidak ambil perkara tersebut sebagai satu benda yang boleh menakutkan saya untuk ke alam perkahwinan.

“Bagi saya, cuma doakan semoga saya cepat kahwin,” katanya kepada HibGlam semasa sesi penggambaran One Cent Thief 2 baru-baru ini.

Ditanya mengenai perancangan untuk menamatkan zaman bujang, anggota kumpulan De Fam itu tiada jawapan tepat buat waktu sekarang kerana fokus tertumpu buat diri dan juga kerjayanya.

“Buat masa ini belum lagi (perancangan kahwin). Doakan untuk saya sebab saya memang dah bersedia.

Kalau nak kata berbincang, memang dah lama memperincikan hal ini tetapi kalau ada, ada lah.

“Buat masa sekarang saya tumpukan sahaja kepada diri sendiri dan karier. Apa-apa akan didedahkan nanti kalau sudah tiba masanya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Azira pernah memaklumkan dia menunggu masa paling tepat untuk bergelar isteri kepada lelaki yang dikenalinya sejak 12 tahun lalu.

September tahun lalu, dia juga pernah memberi bayangan seolah-olah bakal mengakhiri zaman bujang apabila berkongsi ucapan istimewa buat kekasihnya.

Awal 2023 pula, pelakon drama Ijab Kabut itu dalam satu temu bual bersama Kosmo! mendedahkan hatinya sudah dimiliki dan bahagia menyulam kasih. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok