‘Netizen ini kadang-kadang..’ – Ogy tiada niat perli isu lain

PELAKON dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak menerusi pementasan teater terbitannya berjudul Di Sebalik Topeng, sebaliknya sekadar ingin mengusik isu-isu semasa yang sedang hangat diperdebatkan dalam media sosial.

Fauziah atau mesra disapa Ogy berkata, dia tidak kisah sekiranya terdapat netizen yang mensensasikan dialog atau jalan cerita yang dilontarkan kerana karya yang dihasilkan mencerminkan realiti yang berlaku dalam masyarakat kini.

“Netizen ini kadang-kadang kalau buat sesuatu perkara pun mereka akan kecam. Seperti dialog saya dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita.

“Apa saja cerita saya yang tidak ‘FYP’ (trending), sampai saya kadang-kadang pun terfikir, cerita apa ni?

“Apa yang dipersembahkan itu adalah cerita benar dan realiti sekarang. Saya tidak rasa sudah buat sesuatu yang salah sebab kami tidak mengaibkan sesiapa. Saya pun tahu Akta Media Sosial,” katanya pada majlis pra-tonton teater Di Sebalik Topeng yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, di sini, semalam.

Tambahnya, dia berharap mesej yang disampaikan melalui teater itu dapat membuka mata segelintir pihak mengenai kesan negatif komen atau kritikan yang dilemparkan dalam media sosial hari ini.

“Saya harap menerusi teater ini, orang ramai sedar mengenai kesan komen yang ditinggalkan dalam media sosial. semua itu boleh menyebabkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.

“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.

“Setiap watak yang dipersembahkan dalam teater ini juga melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka  dialami,” katanya lagi.

Dalam masa sama, teater itu turut menekankan kepentingan mencari bantuan dan memahami kesakitan emosi adalah sebahagian kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

“Masyarakat kita masih lagi canggung dan kurang faham kepentingan merawat masalah itu sendiri, dalam dialog monolog pembuka ada menyebut “aku sihat, aku tak sakit” dan itu sendiri menunjukkan dia sendiri tidak sedar dirinya perlu dirawat.

“Saya berharap teater ini juga dapat membantu masyarakat kita ini memahami kepentingan sistem sokongan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kesihatan mental dan emosi”,” ujarnya.

Sementara itu, pengarahnya, Zainorhisyam Samudin berharap pementasan ini dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan sokongan emosi.

“Teater ini adalah sebuah ‘experimental’ kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan kita.

“Dalam teater ini kita persembahkan pelbagai latar kehidupan yang membawa kepada gangguan mental itu sendiri yang mana ada sosok narsisitik, penagih dadah, scammer, wanita yang melalui dugaan dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia dan mangsa penderaan.

“Semua ini berlaku di sekeliling kita dan kita tekankan pada pengakhirannya kepentingan sistem sokongan dari semua pihak,” kongsinya.

Teater Di Sebalik Topeng yang akan dipentaskan bermula hari ini dan esok di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Menara DBP bakal menyaksikan Ogy memegang watak sebagai isteri kepada seorang tokoh politik yang pernah berkuasa sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan mental.

Menerusi sesi terapi kumpulan, wanita berkenaan tidak bersendirian, sebaliknya bertemu dengan beberapa individu lain yang cuba melepaskan diri daripada trauma dan bebanan hidup.

Di Sebalik Topeng menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan menyingkap kisah setiap watak yang penuh adegan rahsia.

Selain Ogy, teater terbabit turut dilakonkan oleh Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.

Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui  www.iLassoTickets.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok