KEKAL jelita dan bertenaga, pelakon Datin Sofia Jane mendedahkan dia menjalani gaya hidup sihat dengan rajin bersenam dan mengelakkan pengambilan makanan berproses.
Kata pemilik nama penuh, Sofia Jane Hisham, 52, sesiapa sahaja boleh kekal awet muda asalkan yakin bahawa menjaga pengambilan hidangan harian serta aktif boleh membawa kepada kehidupan lebih terurus.
Setiap hari bila bangun tidur, saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam dan mengangkat beban.
“Saya juga amalkan makanan sihat. Sudah lama saya tidak ambil makanan berproses dan makanan segera.
“Pada saya untuk mencapai semua ini hanyalah asas dan sangat mudah tapi ramai yang tidak percaya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Nenek Bongkok Tiga itu menjaga kesihatan bagi membolehkannya kuat bekerja.
“Ketika ini, seperti menjadi satu obsesi orang ramai apabila bercakap soal mengekalkan kecantikan.
Saya merasakan pada usia sekarang apa yang membuatkan saya terus melangkah adalah tahap kesihatan yang baik.
“Kalau saya ingin bekerja lebih lama lagi, saya mesti sihat mental dan fizikal. Pada ketika ini, itulah yang menjadi keutamaan saya,” ujarnya.
Selain itu, Sofia turut menitipkan nasihat terutamanya kepada pelakon wanita agar sentiasa menjaga kesihatan kerana perlu menggunakan tenaga tanpa mengira waktu.
“Buat wanita seusia saya terutamanya yang berkecimpung dalam dunia seni, tahap kesihatan kita kena sentiasa berada di tahap terbaik.
Waktu kerja kita bukan dari 9 pagi hingga 5 petang. Kita kerja siang dan malam serta waktu yang tidak menentu.
“Malah, kesedaran terhadap kesihatan mental juga penting. Kerja kita memerlukan belajar, membaca dan memahami skrip, ada banyak perkara yang perlu diproses,” jelasnya.
Sebelum ini, Sofia digelar ‘vampire’ kerana wajahnya yang tidak berubah walaupun menjangkau usia 50-an. – HIBGLAM