MASIH menunggu laporan bedah siasat, mayat penyanyi Liam Payne yang kini berada di Argentina khabarnya boleh dibawa pulang ke England dua minggu lagi.
Ini bermakna upacara pengebumian bekas anggota kumpulan One Direction itu hanya dapat disempurnakan November depan iaitu sebaik keputusan ujian toksikologi diketahui.
Agensi berita antarabangsa melaporkan bapa mendiang, Geoff Payne kini sudah berada di Buenos Aires bagi mengenal pasti mayat secara rasmi selain mengatur proses penghantaran untuk dibawa pulang ke West Midlands.
Geoff tiba di negara itu dua hari selepas kematian Liam dan terus dibawa pegawai konsulat ke Hotel
Casa Sur bagi mengambil barang milik mendiang.
Sebelum ini, keputusan awal bedah siasat yang dijalankan Pusat Perubatan Forensik di Rumah Mayat Kehakiman, Viamonte Street mendedahkan Liam meninggal dunia akibat pelbagai trauma yang mengakibatkan pendarahan otak, tengkorak, hati dan dada serta kecederaan luaran.
Siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah, manakala Liam juga disyaki dalam keadaan separuh sedar ketika jatuh dari tingkat tiga balkoni hotel didiaminya.
Forensik menyatakan kajian toksikologi dan anatomi-patologi darah serta air kencing mendiang masih dalam proses ujian bagi menentukan sama ada terdapat kesan dadah.
Selain itu, pihak berkaitan turut menyelidik sejarah perubatan serta kesihatan mental penyanyi berusia 31 tahun itu.
Pada 16 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan berita Liam maut selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni hotel di Buenos Aires, Argentina.
Punca kematian Liam masih menjadi tanda tanya meski maklumat awal mendakwa tragedi terbabit ada kaitan dengan dadah dan minuman keras.
Hasil siasatan mendapati bilik penginapan mendiang berselerak selain berlaku beberapa kerosakan termasuk televisyen.
Malah, pihak berkuasa tempatan turut menemui ubat jenis clonazepam yang digunakan untuk mengawal epilepsi serta serangan panik.
Kunjungan Liam bersama kekasihnya, Kate Cassidy ke Argentina adalah untuk menyokong dan muncul di konsert salah seorang bekas anggota One Direction, Niall Horan.
Begitupun, teman wanitanya itu pulang sendirian ke Florida, Amerika Syarikat dua hari sebelum kematian Liam difahamkan selepas berlaku pertengkaran.
Teman rapat pempengaruh yang sudah bersama Liam sejak dua tahun lalu menyatakan pasangan terbabit sudah dua minggu di Argentina yang sepatutnya hanya percutian lima hari.
Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun, Bear hasil hubungan dengan bekas kekasihnya, juga penyanyi Cheryl Cole. – HIBGLAM