NAMA masuk dalam senarai untuk dihalalkan, penyanyi dan pelakon terkilan apabila statusnya sebagai janda menjadi bahan usikan segelintir pihak.
Kata Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, tiada insan mahu menempuh kegagalan rumah tangga, sekali gus membuatkannya sedih diperlakukan sedemikian.
“Saya rasa sangat sedih apabila nampak nama di situ dan kemudian dijadikan bahan jenaka.
Inilah yang dinamakan takdir dan itulah hakikatnya, mungkin sebab kita dah bercerai dan masuk senarai janda.
“Tiada siapa ingin berkahwin dan merancang untuk bercerai. Saya cuma mahu jalan ke depan,” katanya selepas sidang media Konsert A Night With Sumandak Stars, semalam.
Selain Bella, terdapat tujuh lagi selebriti wanita lain yang sebagai selebriti untuk dihalalkan iaitu Nora Danish, Nur Fazura, Emma Maembong, Nawar Rashid, Puteri Sarah, Rita Rudaini dan Ira Kaza.
Sebak sehingga mata bergenang, bekas isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz itu mengakui hatinya sebak setiap kali hal perceraian diperkatakan.
“Saya okey sahaja cuma kalau boleh tidak mahu cakap lagi mengenai hal melibatkan perceraian atau gelaran janda.
“Saya kini lebih selesa untuk fokus soal kerjaya dan anak-anak sahaja, terima kasih,” ujarnya.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 berakhir pada 13 Jun lalu apabila bercerai talak satu.
Menerusi perkongsian hidup itu, Bella dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – HIBGLAM