‘Masih ibu tunggal’ – Adira nafi tuduhan tinggal bersama Datuk Red

“SAYA masih ibu tunggal dan kami tidak duduk serumah.”

Demikian penjelasan penyanyi Adira menangkis tuduhan masih sebumbung dengan bekas suaminya, Datuk Red gara-gara kerap membuat siaran langsung dalam Instagram bersama-sama.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 33, berharap orang luar tidak membuat andaian melulu kerana ramai ahli keluarga ada bersama setiap kali dudanya datang menjenguk anak.

“Status saya masih lagi ibu tunggal, alhamdulillah. Saya tinggal bersama keluarga, dua abang, seorang kakak dan dua kakak ipar. Dalam rumah saya ada 16 orang. Memang sangat ramai.

Jadi memang saya tidak duduk serumah (dengan Datuk Red). Kalau dilihat kami selalu ‘live’ bersama ada ramai orang di keliling kami, kadangkala dia datang tengok anak-anak.

“Jangan risau, selamat. Saya cuma tolong dia promosi barang,” katanya selepas sidang media konsert A Night With Sumandak Stars, semalam.

Ibu tunggal empat cahaya mata itu turut memaklumkan dia dan Datuk Red, 46 bukan kerap ‘live’ bersama sebaliknya siaran langsung tersebut dilakukan tanpa dirancang.

“Saya faham orang dan netizen memerhati, tapi takkanlah (duduk serumah) kan. Kadang-kadang saya pun bantu dia berjualan di kedainya. Orang ingat itu di rumah padahal di stor.

Biasalah netizen akan cakap macam itu. Kena tengok ‘live’ kami dari awal sampai hujung. Saya rasa jarang jugalah ‘live’ sama-sama. Cuma yang bahagian bersama jadi tular.

“Saya pun sibuk kebelakangan ini. Kalau boleh saya pun nak elakkan ‘live’ berdua sebab susah nak tutup mulut orang. Tak mahu ada lagi yang buat andaian bukan-bukan,” ujarnya.

Mengulas keputusan berbaik semula dengan bekas suami, Adira mengakui masih belum meletakkan tarikh tertentu untuk bersatu kembali.

Sebaliknya, dia memilih untuk meneruskan hubungan positif demi anak-anak selain menyerahkan soal jodoh mengikut aturan Allah.

Saya cuma ‘follow the flow’ sebab buat masa ini saya sedang fokus dengan kerja. Ini pun empat hari saya tidur-tidur ayam, jadual padat sangat.

“Konsert A Night With Sumandak Stars pula pada 30 November depan, jadi banyak perkara perlu diberi perhatian terutama dari segi konsep dan pemilihan lagu.

Menariknya saya dapat berkongsi pentas dengan penyanyi wanita Sabah lain termasuk Marsha Milan, Stacy, Nikky Palikat, Wanie Kayrie, Bella Astillah dan Didi Astillah,” katanya.

Terdahulu, Adira dan Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand namun bercerai pada 24 April lalu.

Dua bulan selepas itu, Adira memberitahu tetap setia menunggu bekas suaminya menggapai impian sebelum memutuskan untuk rujuk semula. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok