PERCAYA hidup punya pilihan, pempengaruh media sosial, Ameera Khan mengakui selesa memilih calon pasangan hidup yang stabil dari segi kewangan apabila mahu berkahwin kelak.
Ujar Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, dia mengimpikan suami yang mampu memberi nafkah setara atau lebih daripada pemberian ibu bapanya.
Saya mahukan seseorang yang boleh memberi nafkah kepada saya seperti mana ibu bapa dan diri saya sendiri menanggung saya.
“Saya mahu seseorang lelaki yang dapat memberikan kepada saya benda yang sama atau lebih,” dedahnya menerusi video dalam TikTok.
Pun begitu, Ameera menegaskan bahawa semua kriteria itu adalah pilihan secara peribadi dan tidak boleh disamakan dengan wanita lain yang mungkin mempunyai kehendak berbeza.
“Setiap wanita itu berbeza. Kalau saya insya-Allah, bila jodoh itu sampai dia perlu tahu dia akan menanggung saya dan kalau saya okey, saya akan terima apa sahaja tahap kewangannya.
Kalau ada segelintir wanita yang mahukan lebih lagi, itu terpulang kepada mereka. Semua orang membesar cara lain-lain tetapi saya bercakap tentang diri saya bukan tentang orang lain.
“Tapi lelaki kena bersedia dari segi kewangan. Kalau awak tak mampu sediakan lagi, jangan bernikah,” tegas adik selebriti terkenal Neelofa itu.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen senada dengan Ameera selain berpendapat pasangan hidup yang dipilih mestilah sekufu bukan sahaja dari segi latar belakang tetapi juga pemikiran.
Enggang sama enggang, pipit sama pipit. Kena ukur baju di badan sendiri, kalau tahu tidak mampu nak halalkan perempuan yang memang asalnya senang, cari yang setaraf,” komen seorang netizen.
“Setuju, sekurang-kurangnya Ameera jujur dengan apa yang dia mahu, dia mahu yang sekufu. Tak semua orang nak susah dan senang bersama, jangan samakan pilihan kita dengan orang lain,” demikian komen seorang lagi pengguna media sosial.
Sebelum ini, kecoh dalam media sosial isu sekufu dan soal pemberian nafkah sehingga membuatkan ramai takut untuk mendirikan rumah tangga memandangkan perkahwinan terbina banyak retak daripada kekal. – HIBGLAM