HANYA mengalami kecederaan ringan selepas terbabit dalam kemalangan semalam, penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim akan meneruskan kerja mengikut perancangan asal.
Kata Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu, dia sudah selamat tiba di Kota Kinabalu, Sabah dari Beaufort malam tadi.
“Alhamdulillah, saya okey. Cuma luka kecil sahaja dan masih boleh bekerja.
“Malam tadi saya sudah sampai di Kota Kinabalu,” katanya ketika menerusi balasan WhatsApp kepada HibGlam.
Menurutnya lagi, dia dijangka berada di Kota Kinabalu sehingga 10 Oktober ini bagi menyempurnakan tugasan berkaitan persatuan.
Difahamkan, Khadijah berada di Brunei Darussalam dan Kota Kinabalu kerana menguruskan tajaan dan pembelian meja untuk Konsert Amal Legends di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu, pada 1 November depan.
Selain penyanyi Ku Pendam Sebuah Duka itu, konsert terbabit turut membariskan Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah, Man Keedal, Azharina dan Ayu Damit.
Khadijah, 65, terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu di Beaufort, Sabah, petang semalam.
Pada kejadian pukul 5.28 petang itu, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki Khadijah dilaporka bertembung dengan Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu.
Turut cedera dalam kenderaan pikap terbabit ialah Baharuddin Hassan, 70 dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.
Bagaimanapun, penghibur terbabit hanya mengalami cedera ringan dan berdarah sedikit pada tangannya.
Ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri daripada kenderaan sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba membantu mangsa. – HIBGLAM