‘Lepas kahwin rezeki mencurah, sentiasa rasa cukup’

MEMILIH untuk menamatkan zaman bujang ketika masih muda dan sedang meniti populariti, pelakon kacak, Ikmal Amry akui tidak pernah menyesal dengan keputusannya.

Menurut Ikmal atau nama lengkapnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 30, dia memilih untuk berkahwin pada usia 26 tahun dan itu adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidupnya.

“Pada usia 26 tahun karier saya sedang meningkat naik ketika itu. Tetapi saya mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2020. Waktu itu kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tak pernah menyesal dan sangat bersyukur dengan keputusan itu.

“Melalui perkahwinan inilah saya banyak belajar tentang kehidupan. Perit jerih menyara keluarga mengajar erti kesabaran.

“Perkahwinan ini menjadikan saya lebih matang dan lebih baik,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media drama bersiri From Saga With Love 2 di sini, baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang cahaya mata ini juga mengakui rezekinya semakin bertambah sejak berkeluarga.

“Selepas berkahwin rezeki saya semakin mencurah-curah. Bukan sahaja rezeki dalam bidang lakonan tetapi benda lain juga.

“Alhamdulillah setakat ini saya sentiasa rasa cukup dengan apa yang saya miliki. Tidaklah kaya raya, tetapi tak pernah tak cukup.

“Itu yang membuatkan saya sentiasa rasa bersyukur,” ujarnya.

Bercakap mengenai drama terbaru lakonannya iaitu From Saga With Love 2, disebabkan sambutan hangat yang diterima untuk musim pertama, pihak Viu Malaysia telah menerbitkan musim kedua.

Membawakan watak utama sebagai Sham, kata Ikmal kali ini lebih mudah untuknya bertutur dalam bahasa Jepun berbanding musim pertama.

“Untuk musim pertama saya mengambil masa selama dua bulan untuk menghafal skrip dalam bahasa Jepun.

“Tetapi untuk musim baharu ini, saya hanya mengambil masa selama dua minggu sahaja.

“Mungkin kalau ada musim ketiga nanti saya hanya ambil masa dua hari sahaja,” katanya berseloroh.

Menampilkan Ikmal Amry, Siti Khadijah, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Hun Haqeem, From Saga With Love 2 mula ditayangkan dalam platform penstriman Viu Malaysia bermula 17 Oktober 2024. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok