BIARPUN dunia hiburan K-pop majoriti dimonopoli bakat tempatan, industri terbuka menerima kehadiran penggiat seni berbakat besar dari negara luar.
Perkara ini dapat dilihat menerusi pembabitan penyanyi Lisa daripada kumpulan Blackpink yang berasal dari Thailand.
Malah, terdapat ramai individu berbakat yang dilahirkan di China, sekali gus berjaya mengukir nama di negara kimchi itu.
Kali ini, Daebak mengetengahkan beberapa anak jati China yang berjaya bertapak di Korea Selatan sehingga terkenal di peringkat global.
Winwin NCT
DALAM sebuah video YouTube, penyanyi kumpulan NCT iaitu Winwin menceritakan bagaimana dia diintai di hadapan pintu masuk sekolahnya, Akademi Tarian Beijing pada 2013.
Semasa berjalan ke bilik tarian, seseorang mengekorinya dan kemudian meluahkan hasrat mahu bergambar.
Tanpa berfikir panjang, pemilik nama lengkap Dong Sicheng itu bersetuju dan tidak tahu bahawa gambar tersebut dikongsikan kepada pasukan pelakon SM Entertainment.
Berkongsi lanjut, dia juga pernah didekati kakitangan syarikat itu walaupun pada awalnya memberikan nombor palsu kerana bimbang.
Hal ini kerana SM Entertainment melihat bakat penyanyi berusia 27 tahun itu apabila menduduki tempat pertama dalam tarian klasik di Sekolah Menengah Gabungan Akademi Tarian Beijing.
Yuqi (G)I-dle
PENARI utama kumpulan (G)I-dle iaitu Yuqi berasal dari Bejing dan merupakan pelajar di institusi pendidikan berprestij, Sekolah Menengah Beijing.
Difahamkan, hanya lima peratus pemohon terbaik sahaja diterima masuk ke Sekolah Menengah Beijing dan Yuqi pernah mendapat gred kedua tertinggi.
Memiliki masa depan yang cerah, ibu bapanya menentang impian Yuqi menjadi selebriti K-Pop.
Yuqi bagaimanapun tetap menyertai uji bakat program Cube Star World pada 2015 selepas melihat kegemilangan karier Hyuna dan Super Junior.
Lay EXO
ZHANG Yixing atau lebih dikenali sebagai Lay EXO berasal dari daerah Changsha, Hunan.
Pada awalnya, Lay muncul dalam drama China berjudul We The People pada 1998 dan lebih dikenali apabila memenangi tempat ketiga program realiti Star Academy pada 2005.
Tidak mengambil masa lama menjadi idola K-Pop, dia direkrut sebagai pelatih SM Entertainment selepas mengambil bahagian dalam uji bakat global syarikat itu di Changsha.
Penyanyi berusia 32 tahun itu sering menunjukkan rasa sayang kepada tempat kelahirannya bahkan mengeluarkan lagu pop berjudul Changsha pada 2020.
Ningning Aespa
MEMPUNYAI kisah sama seperti Chenle, anggota kumpulan Aespa Ningning juga merupakan anak kelahiran China.
Dia menonjol dalam rancangan nyanyian China, Let’s Sing Kinds yang memikat SM Entertainment.
Wanita berusia 23 tahun itu sering menarik perhatian peminat dengan pemakaian seluar pendek dan baju tanpa lengan walaupun pada musim sejuk.
Selepas diteliti, rupa-rupanya Ningning berasal dari Harbin iaitu sebuah bandar China yang terkenal dengan cuaca sejuk.
Chenle NCT
BUKAN Winwin sahaja dari China, seorang lagi ahli NCT iaitu Chenle merupakan bintang kelahiran negara tembok besar itu.
Pada asalnya, pemilik nama sebenar Zhong Chenle itu mahu menjadi askar, doktor, pegawai polis atau ahli matematik walaupun sangat menggemari bidang nyanyian.
Kerjaya seninya bermula sejak zaman kanak-kanak apabila muncul dalam rancangan televisyen dengan membuat persembahan solo.
Sejak itu, kebolehannya menarik perhatian SM Entertainment pada 2016.
Namun, penyanyi berusia 23 tahun itu hampir kehilangan peluang menjadi terkenal di Korea Selatan apabila ibunya menolak tawaran awal dari agensi yang tidak dikenalinya.
Nasib baik, bapanya mengenali nama agensi tersebut dan akhirnya anak jati Shanghai itu berjaya menjadi anggota NCT. – HIBGLAM