‘Kena kekal positif, jangan terlalu ikut mulut orang’

TERUS terbang tinggi dan bebas ke mana-mana sahaja. Prinsip itulah yang digenggam selebriti versatil, Shiha Zikir sepanjang bergelar anak seni lebih sedekad lalu. 

Laluannya dalam arena hiburan tidak semudah yang disangka. Ada masanya  penuh berliku apabila sesekali kelibatnya bagai dilupakan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berkat usaha tanpa lelah memahat nama, pelbagai tawaran dan kejayaan jatuh ke riba.

Tidak hanya nyanyian, kini lakonan, pengacaraan dan pentas komedi menjadi bahagian daripada pintu karier pemilik nama penuh Nurshiha Mohd Zikir itu.

Bersimbah rezeki melimpa-ruah selain wajah sering muncul dalam  program televisyen, timbul pula dakwaan mengatakan wanita berusia 37 tahun itu menjadi anak emas stesen TV3.

Dakwaan tersebut mula tercetus apabila Shiha dilihat sering muncul dalam program terbitan stesen televisyen terbabit, termasuk beberapa drama dibintanginya sebelum ini.

Tersenyum ketika soalan disua berkaitan perkara tersebut, Shiha bertegas, tidak wujud istilah sedemikian malah segala yang dikecapi kebelakangan ini merupakan kurniaan Tuhan berkat kerja keras dan doa.

Shiha bersyukur dan berterima kasih kepada TV3 dan Media Prima kerana sudi memberi peluang serta kepercayaan buatnya menggalas tanggungjawab.

“Saya pun ada dengar soal ini tapi kita kena ingat satu perkara sahaja, Ini rezeki saya, takkan nak tolak. Lagi pun, saya dilahirkan menerusi program Mentor bawah TV3, sekarang Media Prima. Jadi, bagi saya tiada apa yang pelik atau perlu dijadikan isu.

“Saya adalah protege kepada Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai mentor ketika itu. Jadi, pada orang yang bercakap asyik saya sahaja muncul di TV3, mungkin mereka tak betul-betul tahu dan mengikuti perjalanan Shiha Zikir.

“Apapun, terima kasih banyak-banyak kepada Media Prima sebab mereka masih lagi memberi ruang kepada saya yang bukan siapa-siapa ini dan masih beri kepercayaan untuk saya dalam karier seni ini,” katanya kepada Pose.

Mahu terus bersinar tanpa terpalit unsur negatif, pelantun lagu Irama itu turut berpesan kepada rakan seindustri dan orang ramai agar terus kuat mengejar cita-cita masing-masing tanpa tunduk kepada respons negatif.

“Dalam hidup ini, kita kena kekal positif, jangan terlalu ikut mulut orang, jangan ikut apa kehendak orang lain sebab pada akhirnya yang tahu hala tuju dan matlamat hanyalah kita sendiri.

“Asalkan benda kita buat itu benda baik dan okey maka teruskanlah. Tak perlu buat benda itu untuk populariti, nak mendapat pujian orang lain. Buatlah apa yang kita rasa nak buat.

“Kalau nak ikut mulut orang, ‘eh Shiha saja’, memang saya pun enggan masuk program TV3, tetapi saya abaikan perkara negatif dan hanya menghargai benda yang baik-baik,” tegasnya.

Bercakap tentang perkembangan terkini, Shiha dan kakaknya, Ieda bakal berentap di pentas Famili Duo musim keempat (FD4) menentang lima lagi pasangan duo.

Mengulas lanjut, pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu teruja dapat bergandingan dengan kakaknya yang merupakan penyanyi yang aktif sekitar awal tahun 2000.

“Saya teruja menyertai program FD4 ini kerana dapat menyanyi duo dengan kakak. Kami akan berusaha memberi persembahan terbaik dalam pertandingan ini kerana peserta lain pun sangat hebat.

“Kakak saya lebih dulu jadi penyanyi sebelum ini, tapi dia memilih memberi tumpuan pada keluarga, jadi langsung tidak aktif menyanyi lagi selepas berkahwin.

“Pentas FD4 juga sebagai platform untuk memperkenalkan lagi bakat kakak saya, terutamanya kepada khalayak,” ujarnya menutup bicara.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok