PELAKON dan pendakwah Shamsul Ghau Ghau memuji tindakan aktor, Fattah Amin yang memilih untuk terus mengunci mulut mengenai aib bekas isterinya, Nur Fazura selepas sah bercerai baru-baru ini.
Menurut Shamsul atau nama penuhnya, Shamsul Azahar Alidin, 56, tindakan Fattah memilih terus berdiam diri adalah perkara yang tepat kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya lebih kepada ‘team Fattah’ sebab pihak dia setakat ini tak beri sebarang komen. Ya, saya memuji tindakan Fattah berdiam diri.
“Mereka biarkan pihak belah sana bercakap. Kalau dua pihak nak bercakap serentak, akan jadi dua ribut.
Tambahnya, dia juga menganggap seorang lelaki berhak untuk mendiamkan diri namun perlu kembali bersuara untuk mempertahankan diri.
“Sebagai lelaki, lebih baik memilih berdiam diri apabila isteri bercakap. Kalau dia sudah habis bercakap, giliran dia pula mendengar kita bercakap.
“Kita diam dulu, biarkan orang itu bercakap dan ambil hujahannya, barulah kita serang.
“Kalau kita cakap, dia pun nak cakap, memang tiada kesudahan. Diam dan relaks dulu Fattah,” ujarnya.
Sebelum ini, Shamsul pernah memberi pesanan buat Fattah agar dapat mengendalikan kemelut yang melanda rumah tangganya dengan lancar.
Katanya, dugaan dalam perkahwinan merupakan lumrah yang dilalui setiap pasangan suami isteri.
Terdahulu, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Sole pada 7 September lalu.
Mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan aktres berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM.