‘Jepun maju tapi kurang kesedaran tentang autisme’

LEBIH dua dekad mencipta nama, peminat lebih mengenali Hunny Madu sebagai pengacara berbanding penyanyi sedangkan itu merupakan permulaan langkahnya dalam industri hiburan tempatan.

Cukup sinonim dengan gaya pengacaraan yang menarik dan tidak membosankan, versaliti pemilik nama sebenar Hani Farhana Mohd Hatim itu selayaknya dipuji.

Lama menyepi, penulis tidak melepaskan peluang untuk bertanya perkembangan terkini dan atas alasan apa dia tidak begitu aktif sebelum ini.

Tidak lekang senyuman, wanita berusia 40 tahun itu berkata dirinya tidak hilang sebaliknya masih aktif dengan kerja seni belakang tabir selain banyak masa dihabiskan bersama anak-anak.

Terlanjur bercerita soal anak, Hunny berkongsi pengalamannya bercuti dengan keluarga di Negara Matahari Terbit baru-baru ini.

Tiada toleransi, dia terkejut dengan sikap masyarakat di Jepun yang masih kurang kesedaran tentang autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) yang ditunjukkan sepanjang bercuti di negara berkenaan.

Wanita asal Kelantan itu mengakui kecewa apabila kelakuan puteranya, Adam Musa yang juga anak autisme mendatangkan kemarahan masyarakat di sana.

Kata Hunny, setiap kali dia cuba menerangkan keadaan anaknya itu, kebanyakan daripada mereka tidak memahaminya dan meminta dia mengawal permata hatinya.

“Saya baru pulang bercuti dari Jepun, penerimaan rakyat negara itu tentang austime memang sangat rendah.

Negara maju seperti Jepun masih belum terbuka minda mereka untuk menerima keadaan kanak-kanak autistik.

“Saya cuba jelaskan keadaan Adam tetapi mereka tetap minta anak saya untuk duduk diam,” katanya kepada Pose.

Layanan ketara berbeza, Hunny meluahkan rasa gembira dan berbangga dengan keterbukaan rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap individu autisme.

“Rakyat negara ini lebih memahami dan setiap kali saya beritahu tentang keadaan Adam mereka memahaminya.

Namun perkara itu tidak berlaku di Jepun. Walaupun anak saya duduk di meja orang lain sekejap, mereka tetap marah kami sekeluarga.

“Di Jepun, asalkan awak berkelakuan baik dan sopan mereka okey. Kalau anak normal menjerit pun mereka akan marah sebab bagi mereka, ibu bapa tak pandai menjaga anak,” tuturnya serius.

Bercakap tentang keadaan Adam, Hunny memberitahu anak lelakinya itu kini bersekolah di sebuah pusat pembelajaran khusus buat kanak-kanak autistik.

Malah, kesihatannya selepas menjalani pembedahan fontan akibat masalah jantung dua tahun lalu juga menunjukkan perubahan positif.

“Saya lebih banyak bercakap dengannya untuk memahami personalitinya terutama ketika dia dalam keadaan tantrum.

Saya juga banyak berbual dengan ibu bapa lain yang turut mempunyai anak-anak autism.

“Jadi daripada situ saya dapat belajar tentang anak istimewa ini,” ujarnya yang kini mengacarakan program Borak SeeNI bersama Faizal Ismail, Erra Fazira, Dahlia Shazwan, Nana Mahazan, Haziq Hussni dan Keanu Azman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok