BEKAS ahli kumpulan One Direction, Liam Payne dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina, petang semalam
Ketika kejadian, Liam yang berusia 31 tahun itu ditemui pengawal keselamatan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di teres hotel terbabit.
Menurut kakitangan hotel itu, pihak polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Polis memaklumkan sebelum itu menerima panggilan menyebut tentang ‘seorang lelaki agresif yang mungkin berada di bawah kesan dadah dan alkohol’.
Difahamkan penyanyi yang baru menyambut ulang tahun ke-31 pada 29 Ogos lalu bercuti di negara tersebut bersama kekasihnya, Kate Cassidy.
Payne atau nama sebenarnya, Liam James Payne dilahirkan di Wolverhampton, England dan meniti puncak populariti sejurus menyertai program realiti, The X Factor pada 2008.
Dua tahun kemudian, dia sekali lagi mencuba nasib bergelar penyanyi pada usia 16 tahun dan diserap menganggotai kumpulan One Direction bersama empat peserta lain iaitu Harry Styles, Niall Horan, Louis Tomlinson, dan Zayn Malik.
Kelima-lima mereka disatukan personaliti muzik popular, Simon Cowell dan berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan realiti berkenaan.
Antara lagu popular One Direction adalah What Makes You Beautiful, Gotta Be You dan One Thing. – HIBGLAM