TREND ramai pelakon lelaki muda tayang badan sasa dalam media sosial bukanlah satu kesalahan yang perlu dihebohkan.
Pelakon juga penyanyi, Naim Daniel berkata, pendekatan tersebut tergantung kepada motif si pelakunya.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, berkata, selain mempamerkan otot untuk tatapan peminat, setiap pelakon harus menunjukkan pencapaian terbaik, khususnya persembahan lakonan mereka.
“Mungkin itu yang peminat mereka mahukan, tapi saya rasa seseorang artis itu kena tahu siapa sasaran khalayak mereka.
“Sebab sekarang bukan sahaja imej di luar tapi imej dalam media sosial pun nak kena jaga.
“Ikut niat kot, kalau nak belanja, belanja sahaja tapi apa pun kena pastikan popular sebab apa?
“Bukan sekadar tayang badan, kena ada pencapaian sekali,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Ibarat serampang dua mata, pelakon drama Project: High Council itu berkata trend tersebut juga boleh menjadi inspirasi kepada peminat untuk menjaga kesihatan fizikal.
“Trend itu bagus macam ada artis mula buat aktiviti berlari, saya sokong sangat sebab saya sendiri rasa terinspirasi untuk berlari.
“Saya juga rasa perlu untuk seorang pelakon atau penghibur itu ada badan yang sihat,” tuturnya.
Ditanya mengapa tidak terjebak dengan trend tersebut, pelantun lagu Sumpah itu berkata, masa dan momen untuknya menayangkan tubuh seperti dahulu sudah lama berlalu.
“Saya pun ada sahaja kadang-kadang tunjuk badan di Instagram Story tapi sekarang saya pun lebih kepada nak nampak tenang.
“Mungkin sebab dah pernah lalui fasa tayang badan, sudah puas, sekarang banyak kongsi hal kerja sahaja.
“Tapi untuk tunjuk sikit-sikit kat media sosial itu ada sahaja, tipulah kalau kata tiada, itu pun jarang-jarang,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Naim merupakan salah seorang pelakon dalam drama bersiri Project: Exit yang akan menemui penonton pada 1 November depan. – HIBGLAM.