Meskipun berstatus pelakon lagak ngeri terkenal dunia, aktor Jackie Chan berdepan dengan detik cemas apabila pengsan ketika melakukan penggambaran filem terbaharunya, Panda Plan.
Wajah Jackie, ketika kejadian kelihatan kosong seperti tidak menyedari apa yang sedang berlaku.
“Tiba-tiba saya berasa lemah dan nak rebah. Kemudian kru terus berlari ke arah saya untuk memastikan saya selamat.
“Saya seperti tidak sedar dan bertanya pada mereka, apa yang telah berlaku? Apabila diberitahu saya pengsan, rasa seperti tidak percaya pula dan menganggap perkara itu berlaku kerana saya menahan nafas ketika melakukan aksi itu,” katanya.
Jackie berkeras menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun. Kemudian selepas berehat seketika, mereka kembali menjalani penggambaran adegan yang sama.
“Pengsan bukan masalah besar, saya perlu meyakinkan semua orang bahawa saya baik-baik saja. Jika tidak, mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya.
“Jika saya hanya duduk di tepi sambil melihat pihak produksi menggunakan pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah!,”tambahnya.
Pada usia 70 tahun, Jackie masih lagi aktif melakukan sendiri aksi berbahaya tanpa bantuan pelakon pengganti.
Menerusi filem Panda Plan, terdapat juga adegan aksi lain di mana dia menunggang motosikal besar menembusi tingkap.
Semasa penggambaran, motosikal tersebut hilang kawalan dan Jackie tercampak sejauh beberapa meter, namun dia menenangkan kru dengan menyatakan pihak kru tidak perlu bimbang.
Situasi itu membuatkan krew memberi tepukan hormat buat pelakon hebat itu.
“Tidak perlu bimbang, saya okey sahaja, hanya kecederaan kecil,” kata Jackie.
Kemudian menerusi salah satu adegan lain, Jackie perlu melompat dari lantai ke atas kotak kayu besar sebelum melompat ke tingkat dua.
Selain Jackie Chan, Panda Plan juga menampilkan panda Hu Hu sebagai bintang utama.
Filem Panda Plan mengisahkan bintang kung fu, Jackie Chan (dilakonkan oleh Jackie) diundang untuk menjaga anak panda popular, Hu Hu.
Panda Plan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 10 Oktober lalu. – HIBGLAM