SIAPA sahaja tidak mengenali figura tampan bersuara lunak bernama Afgan.
Hampir dua dekad pembabitan dalam industri muzik, karier penyanyi Indonesia itu mekar dengan deretan lagu hit dan kolaborasi bersama artis antarabangsa.
Bagaimanapun, siapa sangka jejaka berlesung pipit itu masih belum berpeluang menggegarkan kemampuannya di pentas berskala besar.
Paling tinggi kehadiran pemuja bakat pemilik nama sebenar nama Afganshah Reza itu menerusi konsertnya sekitar 5,000 penonton sahaja, itu pun di tanah tumpah darah sendiri.
Enggan ditakuk sama, penghibur berusia 35 tahun itu membawa berita baik kepada peminat apabila bakal menjayakan konsert solo terbesar dalam perjalanan 17 tahun karier nyanyiannya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 28 Disember ini.
Bertempat di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, konsert Afgan Live in Penang anjuran Strategy X Entertainment yang memuatkan kapasiti penonton sekitar 7,000 hingga 8,000 orang kelak, sudah pasti satu hadiah amat bermakna.
“Kalau di Indonesia, konsert atau persembahan yang saya pernah jayakan sekitar 5,500 orang saja.
“Justeru, konsert yang akan berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 Disember ini akan menjadi konsert solo terbesar sepanjang karier nyanyian.
“Konsert ini juga akan menceritakan perjalanan karier seni saya dengan menyampaikan 25 lagu hit,” katanya.
Meskipun sudah berkali-kali memenuhi undangan persembahan secara tertutup dan konsert di Malaysia, dia tetap teruja setiap kali kembali ke negara ini.
Kata pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu, Malaysia sentiasa memberikan semangat baharu buatnya.
“Saya tidak pernah jemu ke Malaysia, dan apabila dilamar untuk Afgan Live In Penang 2024, saya terus setuju kerana tahu peminat di sini tidak pernah mengecewakan, meskipun diadakan di Pulau Pinang.
“Saya percaya, sama ada di Pulau Pinang atau di mana sahaja, peminat saya tetap crazy dan penuh semangat.
“Nantikan saya pada 28 Disember 2024, untuk kita ‘berbalas’ dan berbagi energi di pentas Afgan Live In Penang 2024. Saya juga akan mempersembahkan karya-karya terbaharu saya,” ujarnya tersenyum.
Tidak menafikan turut gementar untuk menjayakan persembahan berskala besar, Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik kesembilan (APM9) optimis konsertnya itu akan berjaya dengan sokongan padu penganjur dan pasukannya.
Dia juga tidak menolak untuk menyambung konsertnya pada hari kedua, sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan.
“Sekiranya jualan tiket konsert habis dijual dengan cepat, saya sangat terbuka untuk adakan persembahan kedua keesokan harinya kerana saya memang suka buat persembahan dan itu tiada masalah bagi saya,” katanya.
Tiket-tiket konsert Afgan Live In Penang 2024 yang dibahagikan kepada beberapa kategori boleh didapati menerusi ticket2u.com pada harga RM138, RM188, RM258, RM288, RM318 dan RM388. – HIBGLAM