SELEBRITI senior Fauziah Ahmad Daud menasihatkan artis baharu agar memantapkan kualiti lakonan terlebih dahulu sekiranya ingin menggenggam trofi Anugerah Akademi atau Oscar.
Menurut Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, dia memberikan sokongan kepada mana-mana pelakon baharu namun usaha yang diberikan perlulah selari dengan cita-cita tersebut.
“Memiliki impian itu percuma, tetapi sekiranya dia benar-benar inginkannya, ‘work for it’ (berusahalah).
“Buktikan pada kami yang awak boleh menang Oscar, namun perlulah belajar, jangan fikir nak jaga rambut atau mahu cantik sahaja serta sebagainya,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media pementasan teater Di Sebalik Topeng di sini, semalam.
Tambah bintang filem Azura itu, lakonan bukan melontarkan dialog semata-mata sebaliknya harus hadir dengan pakej ‘rasa’ dari jiwa seorang pelakon.
“Lakonan bukan hanya sekadar melantunkan dialog. Saya cukup ‘pantang’ bila orang cakap lakonan bukan terletak pada dialog semata-mata.
“Bagus untuk menyimpan impian global. Sebagai seorang kakak dan seniwati, saya merasakan banyak yang pelakon muda harus pelajari terutama cara melafazkan dialog serta mendalami karakter.
“Minda perlu laju berfikir, jiwa ada rasa, jaga penafasan dan bahasa tubuh. Semua itu perlu ada untuk menjadi pelakon yang bagus,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Ogy menambah, untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa, setiap pelakon memerlukan pengalaman berpuluh tahun mengambil contoh bintang ternama seperti Leonardo DiCaprio dan Tan Sri Michelle Yeoh.
“Pelakon juga perlu ingat DiCaprio mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon negara kita, Michelle Yeoh.
“Saya mengalu-alukan untuk mereka mempunyai impian.
“Jika awak menyimpan impian tersebut, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata. Mula cari ilmu dalam bidang lakonan, barulah awak akan menghargai seni ini,” tuturnya. – HIBGLAM
View this post on Instagram