Hebat! Mikrofon Shila Amzah lebih RM40,000

HAMPIR 24 tahun mengukuhkan nama di arena seni suara, penyanyi Shila Amzah akhirnya memiliki mikrofon sendiri yang dianggarkan berharga lebih RM40,0000.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkata, alat pelantang rona ungu cair yang diukir huruf SA (singkatan kepada Shila Amzah) adalah mikrofon pertamanya.

“Ini adalah mikrofon pertama saya (selepas berpuluh tahun menyanyi),” katanya ketika suaminya, Ubai MZ membuka kotak peralatan tersebut.

Biarpun enggan mendedahkan nilai sebenar mikrofon terbabit ketika ditanya Ubai, Shila hanya menyebut anggaran kasar seperti harga kereta baharu Malaysia atau kenderaan terpakai Jepun iaitu sekurang-kurangnya sekitar RM40,000.

“Macam nilah, mungkin boleh dapat kereta Malaysia atau lebih kurang dengan harga kenderaan terpakai buatan Jepun,” katanya.

Difahamkan, video berkenaan dirakamkan di bilik hotelnya ketika dia bersama Ubai tiba di China sebelum pertandingan Singing With Legends musim keenam, baru-baru ini.

Shila mara ke final selepas bergelar juara mingguan apabila menyampaikan lagu Bring Me To Life bersama Wang He Ye dan lagu Mandarin Ning Meng Cao De Wei Dao dengan artis terkenal China, Julia Peng Jia Hui.

Menerusi kedua-dua persembahan terbabit, penyanyi lagu Patah Seribu itu dilihat turut menggunakan mikrofon baharunya.

Terdahulu, Shila merupakan artis Melayu pertama yang berjaya menempa nama di China menerusi pengurusan bakat globalnya yang berpangkalan di Australia, Greyscale Pty Ltd.

Penyanyi itu mempunyai jutaan pengikut di Weibo iaitu media sosial terkenal di negara terbabit selepas menjuarai pertandingan nyanyian realiti Asian Wave di Shanghai pada 2012.

Shila kemudian menyertai program paling popular di China iaitu I Am A Singer (musim Kedua) pada 2014 yang mencatat 500 juta penonton seminggu dan muncul sebagai pilihan nombor dua juri profesional dan pilihan nombor tiga penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok