DIDAKWA menggunakan akaun palsu semata-mata untuk meninggalkan komen buruk dalam Instagram aktres Lee Hyeri, agensi pelakon Han So-hee tampil menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan artis jagaan mereka terlalu sibuk untuk melakukan perbuatan jelek itu.
Agensi So-hee, 9ato Entertainment berkata, akaun catsaretheavengers bukanlah milik So-hee seperti yang didakwa.
“Jadualnya terlalu padat untuk melakukan perkara tidak berfaedah,” kata agensi dalam satu kenyataan media.
Khabar angin itu muncul selepas terdapat satu akaun Instagram peribadi secara konsisten meninggalkan komen negatif pada hantaran Hyeri dan rata-rata netizen membuat andaian kemungkinan milik pelakon drama Gyeongseong Creature itu.
Selain itu, gambar profil akaun tersebut juga menimbulkan syak wasangka kerana So Hee pernah menggunakan profil yang sama di Instagram.
So-hee sebelum ini pernah terkait sebagai punca perpisahan Hyeri dengan pelakon Ryu Jun-yeol.