SELEPAS kejayaan luar biasa drama From Saga With Love pada tahun lalu, perkhidmatan penstriman video OTT, Viu kembali dengan From Saga With Love 2 yang mula bersiaran 17 Oktober lalu.
Masih mengekalkan barisan pelakon asal seperti Siti Khadijah Halim sebagai Karma, Ikhmal Amry (Sham), Fimie Don (Bob) dan Sophia Albarakbah (Bianca), musim kedua lebih menarik dengan kehadiran watak baharu iaitu Hadri yang dibawakan oleh Hun Haqeem.
Menurut pengarah, Umi Salwana dan ketua penulis skrip, Rafidah Abdullah, bagi musim kedua produksi memerlukan satu tarikan baharu untuk menambahkan lagi konflik percintaan dan persahabatan empat sekawan itu.
“Mulanya kami berfikir sama ada untuk tambah watak pelakon perempuan tetapi selepas berbincang akhirnya sebulat suara memilih pelakon lelaki yang visual wajah boleh berdiri sama tinggi dengan Ikhmal.
Hun memenuhi segala kriteria yang kami inginkan. Selain itu, walapun kesemua barisan pelakon adalah nama besar, mereka beri komitmen luar biasa.
“Salah seorang pelakon, Vanidah Imran mengalami kemalangan motosikal ketika penggambaran dan perlu berehat hampir dua bulan menyebabkan penggambaran terpaksa ditangguhkan. Semua pelakon lain sanggup bertolak ansur dan tukar jadual mereka demi drama ini,” ujar Umi Salwana pada majlis pelancaran drama From Saga With Love 2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hun menjelaskan dia tidak berasa seperti orang baharu dalam siri berkenaan kerana kehadirannya diterima baik barisan pelakon.
Jujur, setiap drama akan ada tekanannya, tetapi berbeza untuk drama ini kerana barisan pelakonnya sangat membantu.
“Mungkin ramai tidak tahu saya dan Ikmal sudah berkawan lebih 10 tahun sebelum saya jadi pelakon. Tetapi kami tidak pernah berpeluang bergandingan sebelum ini. Jadi, apabila dapat bekerja dengan rakan sendiri lebih seronok dan semuanya jadi mudah,” kata Hun.
Saga, Jepun
Berkongsi penggambaran selama sebulan di Saga, Jepun, jelas Hun pengalaman berada di negara orang membuka matanya tentang budaya dan cara hidup masyarakat di sana.
Bagi saya Saga satu tempat yang tidak terusik lagi, sepanjang bekerja kami dapat menikmati keindahan alam tanpa gangguan kerana tidak ramai pelancong di sana. Orang di sana sangat baik dan buat kerja bersungguh-sungguh untuk bantu kami,” ujar Hun.
Sementara itu, Siti Khadijah dan Ikmal mendedahkan selain budaya, cabaran terbesar dihadapi mereka adalah bahasa.
Ikhmal yang perlu bertutur banyak dialog dalam bahasa Jepun mengambil masa dua minggu untuk menghafal skrip di bawah pemantauan jurubahasa.
Jika musim pertama saya mengambil masa sebulan untuk menghafal skrip dalam bahasa Jepun, musim kedua hanya dua minggu sahaja.
“Bagi memastikan lontaran dialog dalam bahasa Jepun lancar, sepanjang dua minggu saya baca skrip berulang kali sehingga melekat di kepala. Alhamdulillah, nampak lancar dalam skrin,” tutur Ikhmal sambil diakui Siti Khadijah.
Berbeza pula dengan Sophia, cabaran terbesarnya adalah cuaca sejuk sepanjang penggambaran di Saga sehingga menyebabkan dia jatuh sakit selama empat hari.
“Mungkin tidak biasa dengan cuaca sejuk, baju untuk berlakon pula tidak begitu tebal, saya demam dan mengalami radang tonsil.
Saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ubat tetapi tetap gagahkan diri dalam keadaan sakit meneruskan penggambaran kerana tidak mahu menganggu jadual.
“Produksi dan rakan-rakan pelakon menjaga saya dengan baik. Hati saya tersentuh kerana mereka mengutamakan saya daripada diri mereka sendiri,” luah Sophia tentang drama 10 episod itu.
Terdahulu, From Saga With Love musim pertama telah memenangi anugerah Program Komedi Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Komedi (Siti Khadijah) dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2024. – HIBGLAM