Fattah Amin, Fazura sah cerai talak satu

SELEPAS tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti popular pelakon Fattah Amin dan isterinya Fazura akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari di sini hari ini.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dan Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40.

Terdahulu sebelum Fattah melafazkan cerai, ketika diluar mahkamah, pasangan itu dilihat berbincang antara satu sama lain.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan Fattah belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.

Sebelum ini, status rumah tangga pasangan itu sering menjadi sorotan selepas timbul dakwaan keharmonian mereka diganggu orang ketiga.

Susulan itu, pasangan itu juga sudah lama tidak kelihatan bersama mahupun saling berkongsi foto di mana-mana platform media sosial.

Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4,. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok