NIAT baik disalah erti, pelakon Dynas Mokhtar meluahkan rasa berang terhadap segelintir netizen yang meninggalkan komen berbaur lucah pada sebuah hantaran videonya sedang bermain tali skip.
Ujar Dynas atau nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, perkongsian tersebut bertujuan memberi motivasi kepada orang lain untuk menurunkan berat badan namun tidak menyangka hantarannya disalah tafsir segelintir individu berotak kuning.
“Saya ada muat naik video bermain ‘skipping’ dan saya lihat ramai sangat yang komen ‘goyang ini lah, goyang itu lah’.
“Kalian! Saya buat video itu untuk memberi motivasi bagaimana cara kurangkan berat badan. Tetapi ada bahagian ‘goyang’ kerana saya gemuk.
“Jadi saya ingin sampaikan kepada orang luar yang gemuk macam saya supaya insaf. Ini adalah satu cara untuk saya beri kesedaran dan saling memberi motivasi,” katanya menerusi hantaran video dalam TikTok.
Jaga tepi kain sendiri, pelakon drama Susuk itu juga sempat menasihatkan netizen supaya jangan hiraukan perkongsian tersebut sekiranya tidak berminat untuk menonton.
“Perkongsian itu berniat yang positif, kenapa mesti netizen lihat benda yang bergoyang?
“Saya betul-betul tak faham. Kalau kalian tidak suka dengan apa yang dilihat, tolong tinggalkan posting itu,” tegasnya.
Senada dengan Dynas, rata-rata peminat aktres terbabit turut menyelar komen ditinggalkan segelintir netizen yang melihat semua benda dalam konotasi negatif. – HIBGLAM.