BUKAN nama baharu, tempoh lebih dua dekad dalam industri sebenarnya sudah cukup matang untuk Marsha Milan mengenal sepak terajang industri hiburan.
Atas dasar itu juga, pemilik nama Marsha Milan Londoh tidak berasa ralat apabila menyimpan hasrat untuk menjayakan sebuah konsert solo.
Masakan tidak, dia sendiri sudah beberapa kali muncul di atas pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) yang disifatkan sebagai satu pencapaian hebat.
Namun, tidak mudah bagi wanita berusia 39 tahun itu untuk merealisasikan impian selagi tidak sepenuhnya memperoleh kekuatan mental dan persediaan rapi.
“Saya sendiri sudah 20 tahun dalam industri dan dirasakan sudah cukup matang untuk mengadakan konsert begitu juga dengan jumlah lagu yang sudah saya miliki.
Memang sebelum ini sudah ada beberapa orang yang meminta saya untuk mengadakan konsert, tapi sejujurnya saya takut hendak melakukannya.
“Pernah juga saya hampir untuk mengadakan konsert solo, tetapi disebabkan jadual persembahan yang singkat menyebabkan saya terpaksa tundakan hasrat itu,” terangnya.
Menjelaskan kegusaran yang membelenggu fikiran, Marsha takut sekiranya konsert tersebut gagal menghiburkan peminat selain dirasakan tidak sesuai untuk tontonan.
“Saya bukan takut tiada orang yang akan datang ke konsert itu nanti. Tetapi, apa yang saya risau adalah bagaimana perjalanan konsert itu nanti, tema dan konsepnya kerana saya ingin konsert yang berkualiti.
“Saya tidak mahu mereka yang hadir sekadar menyaksikan persembahan pentas biasa.
Mohon doakan semoga saya cepat memperoleh keberanian. Sejujurnya apabila melihat beberapa rakan artis lain sudah membuat konsert solo, saya selalu tertanya bilakah giliran saya. Tetapi, saya takut.
“Siapa tahu, insya-Allah tahun depan mungkin impian itu akan terlaksana,” jelasnya.
RM1 juta
Dalam perkembangan lain, Marsha bakal muncul sebagai juri dalam rancangan realiti baharu, A Million Voice (AMV) bergandingan dengan dua nama besar, Datuk Awie dan Datuk Hattan.
Bersyukur diberikan kepercayaan, Marsha mengharapkan program tersebut dapat melahirkan bintang hebat untuk mewarnai lapangan seni muzik tanah air.
“Sebagai penyanyi yang sudah lama bertapak, tentu saja saya ingin melihat pelapis muda meneruskan perjuangan kami. Sebagai penyanyi berasal dari Sabah, tentulah saya ingin melihat lebih ramai penyanyi dari negeri kelahiran.
“Program AMV juga menampilkan kelainan berbeza apabila dipercayai akan ditayangkan secara hitam putih. Secara visual juga saya tidak dapat membayangkan bagaimana perjalanan program ini nanti,” katanya.
Dihoskan Joey Daud, AMV menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM1 juta dengan sebuah kereta elektrik, kontrak rakaman album dan membuat konsert jelajah tiga tahun.
Mengulas mengenai program tersebut, Marsha mengakui agak gementar apabila pertama kali bergandingan dengan Awie sebagai juri.
“Saya pasti ramai yang tanya bagaimana cara bekerja dengan Datuk Hattan. Dia kalau bekerja lain karakternya, agak mesra. Saya agak rapat dengan dia
“Sementara dengan Datuk Awie pula saya segan sikit sebab ini kali pertama bekerjasama. Tapi insya-Allah kami boleh capai keserasian bila bekerjasama,” katanya.
AMV, yang bakal memulakan sesi pemilihan peserta tidak lama lagi, akan disiarkan menerusi TV3 dan Netflix.- HIBGLAM