SELALU menghindar daripada sebarang isu apatah lagi terjebak kontroversi, nama Sherry Ibrahim tiba-tiba meroket saat perpisahan pasangan, Fattah Amin dan Nur Fazura menjadi tumpuan satu Malaysia.
Sebagai individu yang pernah akrab dengan pelakon tinggi lampai itu, pemilik nama sebenar Syarizad Ibrahim berkeras, sekadar berkongsi kata-kata semangat tanpa niat melencong.
Baginya, seperti rakan seangkatan lain yang berkongsi doa untuk Fattah, dia juga melakukan perkara serupa agar sahabat lamanya itu cekal berdepan episod kelam.
Namun, penerimaan segelintir pihak terhadapnya amat berbeza apabila bertubi-tubi serangan hadir bersama ayat kasar menusuk jiwa hanya kerana suatu ketika dahulu mereka pernah mempunyai hubungan istimewa.
Ikhlas menitip doa tanpa sebarang niat, wanita berusia 41 tahun itu cuba berlapang dada, hanya Allah yang tahu isi hatinya.
“Orang terkilan sebab saya buat kenyataan kepada satu pihak sahaja. Saya kenal Fazura sebagai pemain industri sahaja, saya tak buat kenyataan mengenai dirinya kerana dia bukan kawan saya.
“Mesej tersebut memang didedikasikan buat Fattah sebab saya kenal dia, bukan nak galakkan komen-komen orang sehingga jadi fitnah.
“Saya terima apa orang cakap, saya sendiri dah ambil langkah tersebut walaupun tidak mudah. Yang penting saya ada alasan sendiri,” katanya kepada Pose, baru-baru ini.
Bintang Teduhan Kasih bertegas, sekadar mendoakan Fattah yang dalam fasa kejatuhan.
“Saya ada alasan peribadi dan tidak perlu nak terangkan kepada sesiapa pun sebab saya tahu isi hati sendiri. Allah tahu yang terbaik.
“Bukan saya nak tunggang isu tersebut. Dalam komen ataupun media panggil temu bual, saya tidak jawab sebab tidak mahu bergaduh dan berlawan.
“Kalau tengok balik kenyataan tersebut memang sangat ‘straightforward’. Tak salah seseorang beragama Islam mendoakan kesejahteraan orang yang dalam kesedihan,” tambahnya.
‘Move on’
Selain dilihat mengundang komen netizen, Sherry juga didakwa tidak ‘move on’ daripada hubungan lampau bersama duda anak seorang itu.
Sekali lagi, dia menyangkal dakwaan selain mengakui lebih selesa menjaga privasi.
“Itu kata-kata saya dengar daripada sesetengah individu tetapi kalau nak cerita terus-terang daripada putus sampailah dia kahwin, saya memang selalu kena.
“Namun, topik ini menjadi tumpuan dan besar pula. Sebelum ini pun ada orang cakap benda sama, orang tidak tahu apa saya lalui. Saya tak mahu terangkan.
“Yang berlalu biarlah berlalu, tidak perlu cakap pun kepada orang sebab saya sendiri bukan jenis kongsikan hal peribadi,” jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Ditanya adakah Fattah ada memberikan sebarang respons terhadap hantaran Instagramnya, Sherry mengakui sudah lama tidak bercakap mahupun berhubung dengan pelakon Playboy Itu Suami Aku itu.
“Tidak, saya tak berkomunikasi, tiada nombor telefon dan kami juga tidak mengikuti satu sama lain dalam media sosial selama beberapa tahun.
“Ini kenyataan jelas saya. Saya rasa lebih baik begitu daripada saya cari dia, nanti jadi cerita lain pula tak manis,” jelasnya lagi.
Mengalih tumpuan perbualan, sempat Sherry meluahkan ketidakselesaannya bercakap tentang isu kahwin cerai memandangkan dia masih membujang walaupun sudah memasuki usia 40-an.
“Saya pernah rasa menjengkelkan kalau disoal tentang kahwin tetapi lama-lama faham bahawa orang lebih prihatin.
“Mereka cuma nak tahu sebab saya selalunya tidak kongsikan hal peribadi. Orang ambil berat dan tertanya-tanya.
“Saya cuma berserah kepada Allah. Dalam hidup perkahwinan bukan satu perkara yang wajib sebab sudah dijanjikan akan dapat yang terbaik di syurga kelak,” tuturnya yang bakal aktif dengan penerbitan audio siar tidak lama lagi.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.