SAYA dalam usaha memperbaiki mutu vokal.”
Demikian kata penyanyi Bella Astillah yang sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri terutama kualiti nyanyian seperti mana yang dikecam ramai dalam media sosial ketika ini.
Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, dia tidak pernah ambil hati dengan segala kritikan tersebut kerana merasakan semua pihak ada pandangan tersendiri.
“Saya faham sahaja situasi itu dan tak boleh hendak marah kerana masing-masing mempunyai pendapat sendiri.
Apa sahaja komen atau kecaman netizen, semua itu akan menjadikan saya lebih baik selepas ini.
“Jadi, selepas ini saya akan kongsi semua, ada pergi kelas vokal Cikgu Shafi. Buat masa ini, saya terima sahaja semua dengan berlapang dada,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Tambah Bella, segala kecaman tersebut dilihat secara positif selain berazam untuk mengatasi segala kelemahan diri.
“Macam saya pernah cakap, banyak lagi kelemahan dan kekurangan diri yang perlu diperbaiki, semua itu untuk kebaikan saya juga.
Jadi, saya berterima kasih kerana ramai ambil berat mengenai saya supaya tidak dikecam dengan lebih teruk.
“Kata-kata netizen bakar semangat saya untuk jadi lebih baik selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, bintang drama Aku Tanpa Cintamu itu menzahirkan rasa terharu kerana masih ada pihak yang menuji usahanya melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga tercinta.
Kongsi Bella, anak-anak dan sokongan keluarga merupakan kekuatan untuknya terus bekerja keras.
“Terima kasih kepada yang beri komen positif. Sejujurnya apa sahaja kerja yang saya lakukan sekarang, selagi mampu dan terdaya, saya akan buat sebab itu untuk rezeki anak-anak.
“Macam yang semua tahu, saya anak sulung dan ada dua anak, apa sahaja rezeki yang ada, tidak kisah persembahan, lakonan atau promosi produk, semua saya akan terima sebab itu semua sumber rezeki untuk anak-anak.
“Saya tak pernah rasa terbeban sebab ini semua takdir yang Tuhan telah tetapkan. Apa sahaja rezeki yang datang selepas ini, saya sentiada bersyukur,” ujarnya.
Mutakhir ini, nama Bella menjadi bualan hangat dalam media sosial selepas tular video nyanyiannya yang dikatakan masih belum mencapai tahap seorang penyanyi. – HIBGLAM