Derita sakit, 5 bintang dikecualikan latihan tentera

BARANGKALI hampir mustahil pemuja bakat artis K-Pop tidak mengetahui bahawa setiap lelaki warganegara Korea Selatan diwajibkan menyertai latihan ketenteraan selama hampir dua tahun.

Tidak kira sama ada selebriti papan atas mahupun artis sendu, semuanya tidak akan terlepas daripada menjalani tanggungjawab itu apabila mereka sudah mencapai usia 18 tahun ke atas.

Maka, menggelupurlah deretan peminat tidak tahan menanggung rindu apabila idola mereka terpaksa meninggalkan aktiviti seni sepanjang menjalani latihan tersebut.

Mana tidaknya, tempoh dua tahun bukannya masa yang singkat dan selama itulah tiada karya mahupun penampilan artis kesayangan mereka dalam mana-mana program televisyen.

Pun begitu, terdapat banyak faktor juga yang membolehkan segelintir artis terlepas daripada menyertai latihan ketenteraan.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang dikecualikan daripada menjalani latihan tentera atas sebab tertentu.

Kim Woo-bin

Siapa sahaja tidak mengenali pelakon Kim Woo-bin yang membintangi deretan drama dan filem hit di Korea Selatan.

Malah, khalayak juga maklum bahawa aktor berusia 35 tahun itu telah disahkan menghidap kanser nasofarinks pada 2017 dan telah mendapatkan rawatan pada tahun sama.

Atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan ketika itu, jejaka tinggi lampai berkenaan diberi pengecualian daripada menjalani latihan tentera yang sepatutnya disertai pada tahun itu.

Seo In-guk

Berbeza dengan kes Kim Woo-bin, pelakon dan penyanyi Seo In-guk pada awalnya telah mendaftar diri untuk menjalani latihan tentera pada Mac 2017.

Malang tidak berbau, selepas empat hari berada di kem, jejaka berusia 36 tahun itu terpaksa dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraannya kerana mengalami kecederaan buku lali yang teruk.

Dia disahkan mengalami Osteochondritis dissecans iaitu permasalahan berkaitan kawasan sendi yang membataskannya untuk melakukan pekerjaan berat apatah lagi menyertai latihan tentera.

Ahn Hyo-seop

Pelbagai faktor mempengaruhi setiap kelonggaran, pelakon Ahn Hyo-seop lain pula ceritanya.

Meskipun dilahirkan di Korea Selatan, jejaka berusia 29 tahun itu telah berpindah ke Kanada pada usia tujuh tahun dan dibesarkan di negara itu selama 10 tahun dan telah bertukar warganegara.

Kendatipun dia kembali semula ke Korea pada usia 17 tahun, Hyo-seop dikecualikan menyertai khidmat tentera memandangkan dia bukan lagi warganegara Korea Selatan.

Menarik nafas lega, pelakon drama A Time Called You itu percaya setiap yang berlaku merupakan ketentuan yang terbaik buat dirinya.

Jo Jung-suk

Aktor Jo Jung-suk juga tersenarai dalam senarai Kimchi Panas minggu ini.

Juga berbeza dengan kes artis lain, isu yang dihadapi pelakon berusia 43 tahun itu agak memilukan kerana pengecualiannya daripada latihan tentera disebabkan masalah kewangan.

Selepas kematian bapanya pada tahun 2000, lelaki tampan itu terpaksa menjadi sumber kewangan utama untuk menyara dan menjaga ibunya.

Park Hae-jin

Peminat pelakon Park Hae-jin pasti tahu bahawa aktor kesayangan mereka itu mempunyai sifat yang sangat pemalu dan introvert malah difahamkan hanya bercakap ketika berlakon sahaja.

Meskipun mempunyai tubuh badan sihat, lelaki berusia 41 tahun itu dikecualikan daripada berkhidmat dalam tentera atas alasan kesihatan mental yang tidak begitu baik.

Menurut sebuah laporan, Hae-jin disahkan mengalami kemurungan sejak kecil dan mempunyai fobia sosial yang menyukarkannya bergaul dengan orang lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok