PELAKON Azlan Komeng dan isterinya, Nur Nilam Ortiz menghalalkan wang berjumlah RM10,000 milik mereka yang hilang dicuri pada hari kejadian mereka terlibat dalam kemalangan kereta di Kuala Lipis, Pahang pada 12 Oktober lalu.
Menurut Nur Nilam, wang tunai tersebut yang merupakan hasil perniagaan mereka hilang bersama beg dan sehingga kini masih belum menerima sebarang panggilan atau mesej daripada mana-mana individu yang mengambilnya.
“Saya nak cerita tentang isu duit kami yang hilang, ramai sangat ‘tag’ dan bertanya kerana sehingga sekarang tiada sebarang kenyataan dikeluarkan.
“Sehingga kini, saya masih belum terima duit dan sebarang panggilan telefon atau mesej untuk pulangkannya kepada kami.
“Saya sedia maklum, potensi untuk dapatkan semula duit tidak akan berlaku. Jadi selepas difikirkan, demi Allah SWT dan Rasul, kami halalkan duit tersebut dunia akhirat,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Katanya, keputusan untuk menghalalkan wang itu adalah kerana yakin bahawa Allah akan menggantikan rezeki tersebut dengan sesuatu yang lebih baik.
“Kami halalkan supaya jalan dan urusan kami dilancarkan di dunia serta akhirat. Kami juga minta Allah mudahkan dan lapangkan rezeki kami.
“Tak mengapa, untuk awak yang ambil duit itu, kami halalkan supaya benda ini menjadi asbab untuk awak turut berubah. Insya-Allah kita doakan,” katanya lagi.
Terdahulu, Azlan, Nur Nilam dan anak mereka, Adam terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke ibu kota dari Pahang selepas menyertai sebuah festival makanan.
Azlan mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk bahagian kepala, muka, tulang pinggul kanan lari, kaki kiri luka dalam dan patah, manakala Nur Nilam cedera di tulang rusuk, muka dan kepala akibat terhentak.
Azlan berkata, dia juga berisiko lumpuh sekiranya kaki kirinya tidak menerima rawatan dengan baik selain memerlukan masa sehingga enam bulan untuk sembuh sepenuhnya. – HIBGLAM