Debaran, kemuncak ASA2024 malam ini

DEBARAN semakin terasa! Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) yang dinanti-nantikan bakal berlangsung pada 26 Oktober (malam ini) menjanjikan malam penuh gemilang yang pasti mengukuhkan lagi nama-nama besar dalam industri.

Bertemakan Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan, ASA2024 kembali selepas dua tahun dan sekali lagi mengangkat martabat penggiat seni penyiaran tanah air dengan memberi pengiktirafan kepada yang terbaik.

Acara gemilang itu menawarkan 60 kategori dengan 40 daripadanya untuk  untuk televisyen, 16 (radio) dan empat kategori media baharu. 

Antara kategori televisyen yang dijangka menarik perhatian ramai termasuklah Drama TV Terbaik, Hiburan Muzikal TV Terbaik, Komedi TV Terbaik serta Pelakon Lelaki dan Wanita Drama TV Terbaik.

Dalam kategori radio pula, persaingan sengit dijangka berlaku dalam Penyampai Radio Terbaik, Penyampai Berita Radio Terbaik, serta Liputan Radio Terbaik. Tidak ketinggalan, media baharu juga diberikan ruang dengan empat kategori termasuk Drama Terbaik dan Podcast Terbaik.

Drama, Pelakon Terbaik

Bagi kategori Drama TV Terbaik, lima karya telah berjaya menembusi senarai akhir iaitu Rekah Di Jari Kak Long (TV2), Walking With Darkness (TV2), Azan Terakhir (TV Okey), Bahalol (TV Okey) dan Lebai Sampan (Astro Citra). 

Pencalonan memperlihatkan variasi tema yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan, daripada kisah kekeluargaan hingga konflik dalaman masyarakat.

Drama Bersiri TV Terbaik pula memperlihatkan persaingan sengit antara One Cent Thief dan Project High Council (Astro Ria), Rindu Kasih serta Jaga Aku Selamanya (TV3) dan Demi (TV Okey). 

Karya-karya tersebut menjadi tumpuan kerana keberanian mereka membawa naratif yang mencabar pemikiran dan emosi penonton.

Untuk kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, nama besar seperti Nasir Bilal Khan (Azan Terakhir), Fattah Amin (Matahari Tak Bercahaya) dan Datuk Rosyam Nor (Jangan Malu Menangis) akan bersaing bersama Sobri Anuar (Bahalol) dan Iman Zulkarnain (Jeman). 

Nama-nama pelakon wanita senior seperti Liza Othman tercalon menerusi telefilem Bahalol, Nad Zainal (Matahari Tak Bercahaya), Fauziah Ahmad Daud (Adik Kakak), Nabila Huda (Hari-Hari Terakhir Seorang Pendosa) dan Wan Maimunah (Derhaka Seorang Ibu) pula akan bersaing sengit merebut gelaran Pelakon Wanita Drama TV Terbaik.

Rekod pencalonan, ganjaran

ASA 2024 mencatat rekod apabila menerima sebanyak 1,860 pencalonan, peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding edisi sebelumnya. 

Daripada jumlah tersebut, 1,287 pencalonan daripada televisyen, 515 bagi radio, dan 58 untuk media baharu.

Menariknya, pemenang kategori Drama TV Terbaik bakal membawa pulang hadiah tambahan iaitu Insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM200,000, manakala kategori Dokumentari TV Terbaik akan menerima RM150,000. 

Lebih mengujakan, Anugerah Tokoh Seri Angkasa, anugerah paling berprestij akan memberikan wang tunai RM10,000 kepada penerima bersama sebuah trofi eksklusif.

Bagi Anugerah Khas Juri pula, penerima akan membawa pulang RM8,000 serta trofi. 

Antara pencalonan yang mencuri tumpuan pada malam ini.

Hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 turut menanti semua pemenang 60 kategori yang dipertandingkan.

Penjurian telus, penaja

Untuk memastikan proses penjurian telus dan profesional, Kementerian Komunikasi melantik ahli akademik dalam bidang seni kreatif serta pemain industri berkaliber sebagai juri sekali gus menjamin setiap anugerah diberi kepada yang benar-benar layak.

Edisi kali ini turut dimeriahkan dengan penyertaan lima penaja utama iaitu Habib Jewels, DRB HICOM, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Roadcare (M) Sdn. Bhd. 

Kehadiran penaja-penaja besar bukan sahaja menaikkan prestij acara, malah menambah seri kepada malam penuh gemilang itu.

ASA2024 dijangka menjadi satu lagi sejarah dalam industri penyiaran Malaysia dengan pelbagai pencalonan luar biasa yang menunjukkan kekuatan bakat tempatan.

Acara ini juga bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 malam dan disiarkan secara langsung di saluran TV2 serta platform digital Kementerian Komunikasi.

Dengan segala kemegahan dan kejutan yang bakal ditampilkan, ASA2024 pastinya akan terus mencipta legasi sebagai anugerah penyiaran paling unggul di negara ini.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok