GARA-GARA melakukan gimik murahan untuk pelancaran lagu baharu, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Arnie Shasha, 19, dihambur dengan kecaman netizen.
Arnie telah melakukan gimik kononnya bergaduh dengan pelakon remaja, Qistina Raisah, 16, dalam video yang tular dalam media sosial.
Dalam video berkenaan, Qistina telah menyimbah air ke arah Arnie sambil bertikam lidah di sebuah parkir pusat beli-belah.
Semuanya dilakukan demi mempromosikan lagu baharunya yang berjudul Lepak.
Namun tindakannya itu mengundang padah apabila menerima kecaman bertalu-talu daripada netizen.
Selain mengkritik teknik pemasarannya yang disifatkan sebagai mengjengkelkan, netizen turut mengkritik mutu vokal nyanyiannya.
“Daripada buat gimik, lebih baik pergi kelas vokal dik,” komen netizen.
“Pergi kelas vokal dik. Kesian akak tengok. Suara jiran akak memekik lagi bagus dik,” komen seorang lagi netizen.
Malah, ada juga netizen yang mengaitkan kejadian hujan lebat dan banjir yang terjadi di sekitar Kuala Lumpur gara-gara nyanyiannya.
Teruknya suara. Patutlah hujan lebat, banjir kilat di Kuala Lumpur,” komen netizen.
Arnie yang juga merupakan anak kepada penerbit filem Datuk Rismarayu Mokhtar sebelum ini pernah membintangi filem terbitan ibunya berjudul Harum Malam pada 2023 dan drama bersiri Polis Peronda. – HIGBLAM