Bunkface ‘menggila’ di pentas DFP

MEMBERIKAN pengalaman persembahan luar biasa, kumpulan yang terkenal dengan genre muzik rock punk iaitu Bunkface menawan hati segenap penonton Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Sabtu lalu.

Selaku vokalis Bunkface, Sam seperti tidak membenarkan adrenalin penonton yang hadir bergerak perlahan. Setiap lagu yang dinyanyikan dengan penuh tenaga seperti anak muda belasan tahun.

Tentu sahaja panorama pentas di DFP memberikan sentuhan eksklusif buat Bunkface selain menguatkan kecintaan peminat muzik terhadap band tersebut.

Konsert selama 90 minit itu bukanlah persembahan sulung Bunkface kerana mereka pernah mengadakan mini showcase sempena DFP Seni Festival pada 2014.

Bagaimanapun, berbeza dengan konsert kali ini apabila Bunkface mempersembahkan lebih 20 lagu dengan penuh semangat dan energetik.

PERSEMBAHAN bertenaga oleh Sam membuatkan penonton teruja dan tidak senang duduk menyaksikan konsert Bunkface di DFP Sabtu lalu. – IHSAN DEWAN FILHARMONIK PETRONAS

Bukan sekadar persembahan biasa, Sam juga sempat ‘turun padang’ berinteraksi dengan peminat sambil mengucapkan terima kasih kerana peminat masih memberikan sokongan penuh kepada mereka biarpun hampir 20 tahun Bunkface ditubuhkan.

Kata Sam, menjadi satu penghormatan buat Bunkface apabila peminat ‘membesar’ bersama lagu-lagu dendangan mereka

“Ada yang mengatakan lagu ini mengimbau semula kenangan di zaman remaja dahulu. Terima kasih kerana menjadikan Bunkface sebagai sebahagian daripada cerita kehidupan kalian.

“Terima kasih kerana telah bersama-sama dengan Bunkface dalam menciptakan kenangan yang penuh bermakna pada konsert kali ini,” katanya.

Selain Sam, pemain bes Bunkface iaitu Youk turut memukau peminat menerusi lagu Biarlah yang dipopularkan oleh kumpulan Nidji.

Menyampaikan dengan caranya tersendiri, setiap hadirin yang hadir turut bersama-sama menyanyikan lagu tersebut sehinggakan menjadi ‘gelombang suara’ di DFP.

Pembukaan pentas dengan lagu Programme sahaja sudah membuatkan penonton tidak senang duduk. Kemudian persembahan diteruskan dengan lagu Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya (MIKP) dan Korang.

Boleh dikatakan kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam itu dinyanyikan bersama-sama dengan peminat. Biarpun sudah selesai mempersembahkan 21 buah lagu, namun peminat masih berasa belum puas dan mengharapkan lebih daripada Bunkface.

Sambutan luar biasa peminat tentu sahaja menjadi ‘saksi mata’ bahawa Bunkface masih relevan dalam industri dan akan terus kukuh pada masa akan datang.

Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam persembahan termasuklah Hilang, Dunia, Kembali, Panik, Situasi, Revolusi dan Darah Muda. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok