Budak Pendamping, Wafariena nampak hantu kerumun ‘darah’

PELAKON Wafariena berdepan dengan kejadian mencemaskan apabila ternampak hantu di set penggambaran drama Budak Pendamping.

Menurut Wafariena atau nama sebenarnya, Wafariena Roslan, 29, kejadian tersebut berlaku ketika penggambaran yang dilakukan di universiti yang terletak di Tanjong Malim, Perak.

“Penggambaran drama ini banyak dilakukan pada waktu malam, semuanya okey dengan barisan pelakon bagus-bagus.

“Cuma ketika satu babak yang bermain dengan darah, walaupun darah yang digunakan bukanlah darah betul saya ternampak ada ‘benda’ yang cuba mengerumun ke arah darah tersebut.

“Memang saya sangat terkejut, tetapi saya tidak berani untuk beritahu orang lain kerana bimbang nanti semua orang tidak boleh berlakon,” kata Wafariena.

Dalam satu kejadian lain, Wafariena mengakui ternampak satu lembaga berkaki Panjang melintas lebuhraya pada waktu malam.

“Biasalah kalau balik penggambaran mesti tengah malam, badan pun penat tetapi itulah terkejut saya ternampak lembaga itu melintas lebuhraya yang luas dengan selangkah sahaja.

“Saya takutlah, sejak itu setiap kali sebelum tidur saya amalkan doa-doa yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya okey sahaja tidak pula terkena sampuk,” kata Wafariena yang ditemui pada majlis sidang media drama Budak Pendamping semalam.

Kisah seram itu juga diakui aktor Fimie Don yang turut membintangi drama arahan Dr. Ahmad Idham itu.

Jelas Fimie, lokasi penggambaran memang terkenal sebagai tempat yang ‘keras’, namun dia tidak terserempak dengan mana-mana makhluk halus kecuali terasa seram sahaja.

“Biasa kalau kita buat penggambaran di mana-mana pasti akan ada orang yang jaga, ini pengawal keselamatan pun memang tidak nampak. Ibarat orang pun tidak mahu berjaga di kawasan itu.

“Memang hanya kami barisan pelakon dan kru produksi sahaja berada di sana pada waktu malam. Suasana memang seramlah tetapi saya bersyukur tidak bertembung dengan mana-mana hantu,” Kongsi Fimie.

Karya Budak Pendamping adalah telefilem terbitan Saphire Screen dan akan ditayangkan di slot Degup HD, saluran 120 secara eksklusif di Unifi TV pada pukul 10 malam, hari ini.

Budak Pendamping mengisahkan perjalanan hidup seorang remaja bernama Firash yang menjadi mangsa buli ketika menghadiri sebuah kem.

Segalanya berubah apabila seorang ‘budak pendamping’ muncul dan mula mendampingi Firash.

Selain Wafariena dan Fimie Don, Budak Pendamping turut dibintangi oleh Idan Aedan, Syafie Naswip, Datuk Seri Eizlan Yusof, Puteri Sarah, Syazuwan Hassan, Ahmad Adly, Mustaqim Bahadon, Yeop Hitler, Rashdan Baba, Anne Abdullah, Ewan Fauzi dan Ammar Aqashah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok