‘Bila bercinta orang bercakap, bila putus senyap pula’

PENYANYI Yazmin Aziz menepis dakwaan sedang menjalin hubungan cinta dengan teman lelaki baharu selepas putus dengan bekas kekasih  iaitu atlet bola keranjang, Austin Veloso.

Kata Yazmin, 23, video memaparkan dirinya bermesra dengan seorang lelaki merupakan video lama yang kini tular semula.

Pemilik nama lengkap Yazmin Aldwin Abdul Aziz itu turut menolak tohmahan dirinya mudah bertemu cinta baharu selepas gagal dalam perhubungan terdahulu.

“Ya saya tahu siapa yang melihat berita itu pasti ingat saya sudah ada kekasih baharu.

“Kalian akan kata Yazmin sudah ada kekasih baharu lagi? Yazmin sudah tukar kekasih? Senang betul dia tukar kekasih.

“Ya memang benar saya mudah tukar kekasih tetapi kalau saya mahu. Berita yang tular itu adalah kisah lama,” katanya dalam aplikasi TikTok.

Yazmin turut mengesahkan hubungan dengan Austin Veloso sudah berakhir dan kini bahagia menikmati hidup solo.

“Kami sudah lama berpisah. Saya kini single.

“Inilah masalahnya, apabila saya bercinta dengan kekasih baharu orang akan bercakap.

“Tetapi apabila saya putus, semua senyap. Kemudian apabila saya bercinta dengan teman lelaki baharu, orang mula cakap lagi,” katanya.

Pada Februari tahun lalu, Yazmin mendedahkan bercinta dengan Veloso yang juga atlet bola keranjang Hong Kong, namun tidak bertahan lama kerana hubungan jarak jauh.

Terdahulu, Yazmin pernah menjalin hubungan dengan pemain bola sepak pasukan The Red Worrior asal Brazil iaitu Nixon Guylherme. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok