‘Biarlah itu yang mereka mampu, jangan jadi manusia kurang cerdik’

PELAKON Adam Lee menegur tindakan individu yang membuli seorang kanak-kanak lelaki dalam media sosial hanya kerana memakai kasut sukan jenama tiruan.

Tegas Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 29, perbuatan warga maya mengecam kanak-kanak terbabit mencerminkan tindakan kurang bijak.

Malah, sebagai anak tentu sahaja kanak-kanak berkenaan berasa bangga menerima hadiah pemberian daripada ibu tercinta sempena ulang tahun kelahiran tanpa mengira sama ada barangan tersebut mahal atau murah.

“Pastilah dia bangga sebab mak dia yang belikan. Jadi kalian  jangan menjadi manusia yang kurang cerdik. Biarlah kerana itu saja yang dia mampu.

“Kalau kasut itu jenama LV (Louis Vuitton), Versace, Prada tidak kena kecam. Tetapi, disebabkan kasut itu tiruan, kalian semua kecam dia,” katanya dalam satu video TikTok.

Pada masa sama, Adam turut mengakui merindui era kegemilangan surat khabar yang menjadi sumber utama masyarakat untuk mendapatkan maklumat berbanding media sosial.

“Sejujurnya saya suka zaman surat khabar berbanding media sosial kerana terlalu banyak aib dibuka, yang orang tunjuk dan fitnah.

“Alhamdulillah saya masuk industri ketika zaman surat khabar baharu beralih ke era media sosial. IBiarpun akhbar masih ada lagi, tetapi media sosial sekarang jadi pilihan ramai  nombor satu,” katanya.

Pelakon drama Bukan Lelaki Terhebat itu bagaimanapun menegaskan dia perlu menggunakan media sosial sebagai medium digital masa kini untuk berinteraksi dengan peminat.

“Tetapi, sebagai pelakon dan pempengaruh saya perlu menggunakan media sosial kerana itu memang kerja saya,” katanya.

Sebelum ini seorang kanak-kanak dikenali sebagai Arman teruja memuat naik video kasut baharunya dalam TikTok.

Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama apabila ada netizen mengkritik kasut tersebut barangan tiruan  selain memintanya mendedahkan harga sebenar.

Setelah didesak Arman kemudian mendedahkan perkara sebenar manakala ibunya juga mengakui membeli kasut itu pada harga RM80 termasuk bayaran pos. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok