RAUT wajah yang ayu ditambah dengan perwatakan yang lemah lembut, seringkali memaksa pelakon Datin Elvina Mohamad dengan rela hati menyahut sahaja tawaran watak wanita teraniaya yang jatuh ke ribaannya.
Tidak dinafikan pemilik nama sebenar Norazlina Mohamad itu cemerlang membawakan watak protagonis dalam nashkah-naskhah yang meletakkan diri sebagai heroin.
Ironinya, pelakon berusia 29 tahun itu berasakan bakat lakonannya tidak terhad hanya kepada satu jenis peranan.
Dia mahu memerah segala bakat yang ada dalam diri untuk dipertontonkan kepada khalayak.
Sepuluh tahun bergelar artis, saat yang diidamkan kini memihak kepada Elvina apabila akhirnya berpeluang memegang watak antagonis.
Menerusi karya terbaharu berjudul Ternyata Sebuah Bahagia yang kini menemui penonton menerusi Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang, Elvina diberi peranan sebagai Rhea, seorang ‘penyondol’ suami orang.
“Akhirnya ada pihak yang berani dan sudi menawarkan watak antagonis kepada saya. Terima kasih kepada Suhan Movies kerana percayakan bakat yang ada pada saya.
Sejujurnya sudah lama saya idamkan watak seperti ini. Sebelum ini saya banyak berlakon watak wanita teraniaya yang banyak bermain emosi.
“Kalau dah selalu sangat berlakon watak sama, takut ramai bosan. Saya juga mahu menjadi versatil dalam lakonan. Tidaklah nanti dilabel stereotaip,” katanya kepada HibGlam.
Elvina mahu gunakan peluang ini sebaik-baiknya dengan menyuntik cara tersendiri agar tidak kelihatan klise dengan watak-watak antagonis yang pernah disaksikan sebelum ini.
Kata Elvina, dia banyak merujuk kepada watak-watak antagonis dalam drama Korea Selatan, antaranya drama The Glory.
Saya sangat sukakan watak Rhea. Macam-macam yang saya boleh cuba dan buat untuk mewarnakan lagi watak ini.
“Kalau bawa watak baik, kita terikat dengan satu sisi lakonan sahaja.
Tetapi watak antagonis kita boleh pelbagaikan. Contohnya kita sebenarnya jahat, tetapi ada kalanya berselindung disebalik wajah yang baik.
“Untuk rujukan, saya banyak tonton drama Korea. Saya belajar melihat permainan karakter mereka dari segi mimik muka.
“Kalau kita lihat watak antagonis dalam drama Korea solekan mereka juga tidak tebal. Biasa sahaja. Tidak semestinya watak jahat kena pakai gincu merah. Saya sendiri minta agar tidak dipakaikan gincu merah untuk watak ini,” kongsinya.
Akui puas melakonkan watak Rhea, Elvina berharap selepas ini lebih banyak peluang untuk dirinya mencuba pelbagai karakter dalam lakonan.
“Zaman sekarang sudah berubah. Watak jahat tidak semestinya untuk mereka yang berwajah garang atau bersolek tebal. Jahat tidak semestinya secara luaran. Tetapi juga dalaman.
Apa yang saya lihat banyak drama kita yang menggunakan teknik solekan tebal seperti gincu merah untuk watak antagonis. Pada saya kita perlu jadi lebih kreatif.
“Ramai pelakon kita yang berbakat tetapi tidak diberikan peluang untuk menonjolkan bakat serta potensi yang ada dalam diri mereka,” katanya yang turut mengidamkan watak aksi.
Kebelakangan ini ni, Elvina dilihat jarang berkongsi foto keluarganya dalam media sosial sehingga ada yang mula berprasangka negatif kononnya rumah tangganya dilanda masalah.
Namun kata Elvina, tindakannya mengehadkan perkongsian gambar keluarga tiada kena mengena dengan sebarang masalah rumah tangga sebaliknya hanya mahu berjaga-jaga, takut terkena penyakit `ain’.
“Dahulu saya kerap kongsi tentang anak dan suami. Namun netizen suka cari kesalahan. Jadi, saya kena jelaskan setiap perkara kepada mereka.
Anak-anak saya pun pernah jadi bahan kecaman sedangkan cara kita besarkan anak semuanya berbeza. Sebab itulah saya pilih untuk kurangkan perkongsian gambar keluarga dalam media sosial.
“Bila muat naik tentang diri sendiri, setidaknya kecaman itu hanya tertuju kepada saya seorang. Tidak terkena kepada anak dan suami.
“Suami saya sampai pernah kena darah tinggi sebab baca komen,” kongsinya.
Tambah pelakon filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam itu lagi, kini dia semakin berhati-hati untuk membuat hantaran dalam media sosial dan hanya selesa berkongsi tentang kerjayanya.
“Tidak semua orang suka melihat kita bahagia. Jadi saya pilih untuk hadkan perkongsian dalam media sosial.
Kalau mahu berkongsi pun tentang acara tertentu seperti majlis sambutan hari lahir anak. Platform saya banyak tentang kerja.
“Jika kongsi terlalu banyak pun tidak bagus. Apa yang saya tunjuk dalam media sosial hanya 20 peratus tentang saya,” katanya. – HIBGLAM