BERMULA dengan pertandingan nyanyian The Voice Kids Indonesia musim pertama, masuk tahun ini hampir sedekad Bernadya berusaha meletakkan diri dalam kalangan penyanyi terkenal di Indonesia.
Selepas bertahun-tahun berhempas-pulas, rezeki akhirnya berpihak kepada Bernadya yang kini dikenali sebagai komposer serta penyanyi atau juga ‘singer songwriter’ lagu galau berjaya.
Hampir semua seleksi dendangannya mudah memikat pendengar selain mempunyai maksud mendalam, lebih-lebih lagi mengenai episod patah hati.
Meskipun sudah lama berada dalam industri, wanita berusia 20 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk menyihir pendengar dengan karya istimewanya.
Selepas melancarkan album solo pertama berjudul Apa Mungkin tahun lalu, seleksi ditawarkan mampu menangkap halwa telinga untuk terus jatuh cinta dengan lantunan suara si cantik yang mesra disapa Nadya itu.
Sejak itu, dia semakin giat menghasilkan lagu-lagu genre sama yang kebanyakannya bercerita tentang perasaan dikecewakan selain susah untuk ‘move on’ daripada cinta lama.
Anak jati Surabaya, Indonesia itu bukan sahaja memikat pendengar Indonesia, bahkan bikin orang Malaysia tergila-gilakan suaranya.
Dari situ tercetusnya idea mengadakan siri Tur Berjalan menandakan jelajah konsertnya yang pertama di Jakarta (27 Jun), Surabaya (10 Julai), Yogyakarta (13 Julai), Bandung (14 Julai) dan Kuala Lumpur (25 September) dalam peta hiburan Nusantara.
Sempat bertentang empat mata, Nadya berkongsi rasa keterujaan mengadakan konsert jelajah pertama di Malaysia di The Bee, Publika baru-baru ini.
“Pertama kali berada di Malaysia sangat teruja. Saya belajar banyak benda baharu.
Saya juga sangat gembira berjumpa dengan peminat-peminat di Malaysia kerana kebanyakannya begitu peramah.
“Namun, saya tak sangka akan raih sambutan hangat daripada kalian lebih-lebih lagi apabila tiket Tur Berjalan saya habis dijual,” katanya kepada HibGlam.
Sepanjang bermain dengan muzik, Nadya lebih puas menyanyikan lagu tulisan sendiri. Difahamkan, penghasilan karyanya terinspirasi daripada Taylor Swift, Niki, Tulus dan Raisa.
Nadya juga cukup kagum terhadap karya Tulus selain mengakui membesar dengan lagu-lagu Raisa sejak kecil.
Kebanyakan karya saya adalah daripada pengalaman sendiri selepas melalui pelbagai episod hitam.
“Saya mahu semua dapat rasa apa yang saya rasai.
Namun, tak sangka mampu meraih berjuta pendengar kerana tujuan asal hanya mahu orang dengar penulisan saya,” tuturnya.
Apa yang lebih mengagumkan, Nadya juga sempat berkongsi kisah seseorang yang berhenti mencederakan diri sendiri selepas mendengar sebuah karyanya daripada album Sialnya, Hidup Tetap Harus Diteruskan.
“Saya ada berjumpa dengan seorang pencipta kandungan Malaysia dan semasa mengambil foto bersama, dia ada bisik kepada saya.
Katanya, dia berhenti ‘self-harm (menyakiti diri) selepas mendengar lagu saya, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.
“Lagu tersebut mengisahkan perjalanan yang sedih dan pahit tetapi pada hujungnya pasti ada kemanisan,” jelasnya.
Berdurasi satu jam, pada persembahan di Kuala Lumpur, Nadya menyampaikan seleksi hitnya berjudul Kini Mereka Tahu, Kata Mereka Ini Berlebihan, Kita Kubur Sampai Mati, Sialnya, Hidup Harus Tetap Berjalan, Ambang Pintu dan Berlari.
Tidak lengkap konsert jelajahnya tanpa Lama-Lama, Untungnya Hidup Harus Tetap Berjalan, Terlintas, Satu Bulan dan Apa Mungkin.
Kesemua lagu disampaikan mengikut turutan fasa yang dilalui dalam kehidupan iaitu fasa patah hati, keraguan dan kesedaran.
Lagu-lagu mengisi fasa pertama ketika pengorbanan cinta yang sia-sia dan berfikir untuk mengakhiri hubungan termasuklah, Kini Mereka Tahu, Kata Mereka Ini Berlebihan, Kita Kubur Sampai Mati Sialnya dan Hidup Harus Tetap Berjalan.
Diikuti dengan fasa kedua yang juga dikenali dengan ‘self-doubt’ iaitu ketika mula menyoalkan keputusan mengakhiri sebuah hubungan dengan penyampaian lagu Ambang Pintu, Lama-Lama dan Berlari.
Memasuki fasa ketiga, ketika menceritakan kisah cintanya yang terkandas, Bernadya hadir Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan, Masa Sepi, Satu Bulan dan Apa Mungkin.
Pasti juga ramai yang tertanya-tanya, mengapa kelibat wanita ini sering menggayakan busana berona hitam dalam setiap kemunculannya.
Katanya, itu konsep daripada lagunya berjudul Kata Mereka Ini Berlebihan yang mengandungi lirik:
Baju hitamku tak pernah kusentuh lagi sejak hari itu, kau bilang warna gelap membosankan.”
Busana hitam menggambarkan perlawanan dari lagu tersebut yang tidak menghiraukan kata orang lain mengenai penampilannya.
Hal ini juga sebagai penegasan bahawa dirinya sudah berdamai dengan masa laluinya melalui pakaian tersebut. – HIBGLAM