SEDEKAD membina nama, bermacam cara dilakukan figura bernama Amir Masdi demi memastikan namanya terpahat kemas dalam industri seni tanah air.
Tidak pernah mengalah apatah lagi menyalahkan takdir apabila namanya lambat panas seperti rakan seperjuangan lain, itu perkara yang harus diberikan pujian.
Kini, bekas juara Akademi Fantasia 2016 itu kian terbang tinggi mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang penyanyi popular tempatan apabila meluncurkan album keduanya, AM:PM.
Tutur pemilik nama penuh Amir Syazwan Masdi itu, album tersebut mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat kerjaya seni apatah lagi dirakam beribu kilometer jauh dari tanah air iaitu di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester, United Kingdom.
“Album kali ini dibuat kelainan kerana dihasilkan dalam dua sisi berbeza iaitu AM dan PM. Album penuhnya ialah AM:PM tapi saya memilih untuk keluarkan PM pada awal tahun hadapan.
Sekarang hanya enam buah lagu pada bahagian AM dilancarkan. Untuk PM juga hampir siap dan akan selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Strategi ini dipilih sebab satu perkara yang menarik, pendengar akan lebih teruja apabila mempunyai dua bahagian untuk satu album yang penuh,” katanya kepada HibGlam usai showcase dan majlis pelancaran AM:PM baru-baru ini.
Teruja berkongsi buah tangan terbaharunya, penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, pemilihan nama AM:PM juga dilakukan dengan sangat teliti kerana ingin memberi makna besar terhadap keseluruhan proses pembikinan album tersebut.
Ujarnya, emosi peminat akan dibawa hanyut dalam muzik yang dinamik dan penuh variasi menerusi karya-karya istimewanya.
“Bukan drama sahaja yang bersiri, album juga boleh begitu. Kami fikirkan sesuatu di luar kotak dan berbeza.
Tajuk AM:PM juga sangat menarik kerana AM mewakili nama saya juga Amir Masdi, manakala PM adalah singkatan kepada Projek Manchester. Kebetulan, nama penuhnya jadilah Amir Masdi Projek Manchester.
“Selain itu, AM:PM juga menunjukkan situasi pada dua waktu berbeza iaitu Edry bdul Halim selaku komposer dan penerbit berada di Manchester, manakala saya pula berada di Malaysia. Kalau di sini siang, di sana pula malam,” katanya panjang lebar.
Menerusi album tersebut, Amir turut menunjuk kemampuannya sebagai pencipta lagu selain bergelar penerbit bersama Edry.
Tidak lokek ilmu, Edry banyak mengajarnya untuk menjadi seorang penulis yang bagus termasuk cara menghayati dengan memasukkan emosi yang betul dalam sesebuah lagu.
“Februari lalu, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan saya selama ini sekitar enam angka untuk bergerak ke fasa seterusnya.
Selama 18 hari di sana, saya dan Edry menulis dan merakam kesemua 12 lagu termasuk penghasilan video muzik.
“Memang banyak cabaran tetapi perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya dan memberi semangat baru untuk hasilkan lebih banyak karya berkualiti,” ujarnya.
Ditanya masih mengekalkan konsep rock balada, Amir menegaskan dia akan kekal membawa genre tersebut meski ketika ini industri muzik dilambakkan dengan trend lagu ‘galau’.
“Saya masih berpegang dengan identiti yang sudah dibawa sejak dahulu. Ini diri dan jiwa saya.
Ya, memang ketika ini ramai penyanyi memilih mengeluarkan banyak lagu bercorak galau atau healing tetapi tidak bagi saya.
“Kalau semua nak keluar lagu galau, genre lain macam mana pula? Apa pun, saya yakin genre sebegini mempunyai kelompok peminat sendiri,” jelasnya.
Antara lagu yang mengisi bahagian AM ialah Luar Kotak, Calar, Take Me Home, Langit Biru, Bakal Kekasih dan Nur Cinta.
AM:PM diterbitkan AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music.
Sepanjang showcase yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Amir beberapa kali meminta orang ramai mendoakan dipertemukan dengan jodoh.
Sempat mengusiknya dengan perkara tersebut, pelantun lagu Kau Sakiti itu mengakui memilih untuk fokus terhadap kerjaya berbanding perihal cinta.
Bukan tidak mahu mencari tetapi pengalaman putus cinta beberapa tahun lalu menjadikannya lelaki yang lebih matang dan memilih menyerahkan semuanya kepada takdir Tuhan.
Ketika ini, saya tidak mencari apatah lagi mengejar cinta tetapi hanya menanti waktu yang sesuai.
“Mungkin sebab terlalu fokus untuk menjayakan album saya sejak awal tahun ini, sebab itu tiada masa mencari soal cinta,” jelasnya.
Kongsinya lagi, dia tidak meletakkan sebarang ciri-ciri tertentu tetapi lebih selesa sekiranya wanita berkenaan memahami kerjaya seninya.
Saya bukan lelaki yang cerewet dan tiada sebarang ciri-ciri terperinci.
“Saya okey sahaja asalkan wanita itu seorang yang memahami dan matang,” jelasnya lagi.
Terbuka berkongsi, Amir mengakui kisah cinta lalu membuatkan dirinya cenderung menghasilkan lagu-lagu sedih dan patah hati sebelum ini.
“Sebelum ini, bekas kekasih saya kurang memahami diri saya termasuk kerjaya dan mengambil keputusan berpisah beberapa tahun lalu.
Saya ditinggalkan, sebab itulah banyak keluarkan lagu sedih.
“Dahulu mungkin serik, tetapi sekarang saya okey dan sudah ‘move on’ dari kisah lalu tersebut,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM