TIADA angin tiada ribut, penyanyi Aweera mencetuskan kerisauan orang ramai apabila memuat naik hantaran dalam Instagram seolah-olah sedang bersedih.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik nama Nasharul Aweera Norhissham, 33, itu memuat naik gambar hitam putih dirinya sendirian yang sedang melihat ke arah langit beserta kapsyen yang mengundang tanda tanya.
Tak lama dah, aku nak pergi tempat paling jauh, paling jauh.
“Maafkan aku,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, hantaran sama juga dibuat menerusi Instagram Story yang dilatari lagu popular nyanyian Allahyarham Sudirman berjudul Salam Terakhir.
Bagaimanapun, pelantun lagu Romancinta itu tidak memperincikan motif mahupun tujuan hantaran tersebut dimuat naik.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata peminat dan netizen menzahirkan kebimbangan selain mendoakan Aweera tabah serta cekal berdepan ujian.
“Awak okey ke Aweera, apapun yang awak hadapi, sesulit manapun, saya harap awak tabah menjalani hari-hari mendatang, hidup ini tak mudah,” komen seorang peminat.
Rehatlah Aweera, tenangkan fikiran tetapi jangan pergi jauh-jauh, nanti peminat rindu,” komen seorang lagi peminat.
“Tenangkanlah hatimu, dekatkan diri dengan Allah, masih ramai yang sayangkanmu, jangan pergi jauh sangat,” demikian komen seorang lagi pengguna media sosial.
Pun begitu, terdapat juga netizen yang membuat spekulasi bahawa kemungkinan itu semua adalah gimik untuk melancarkan lagu baharu. – HIBGLAM