‘Aisha Retro pendua saya, boleh jadi Ratu Irama Malaysia’

NORANIZA Idris memang tiada dua, namun Ratu Irama Malaysia itu yakin penyanyi muda Aisha Retno mampu menggantikan dirinya, sekali gus menjadi penggerak genre irama etnik tradisional dengan pembawaan lebih kreatif sesuai dengan kehendak semasa.

Ujar wanita yang mesra disapa Kak Ani itu, bakat Aisha Retno disedarinya sejak lama sewaktu penyanyi berusia 24 tahun itu melantunkan lagu Sutera pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang lalu.

Sebelum dia (Aisha) nyanyi lagu irama Malaysia, saya sudah kaji latar belakang dia dan dari situ, saya nampak kenapa jiwanya kuat nilai budaya kerana ada darah seni.

“Jadi, bila orang kata dia bukan penyanyi irama Malaysia, sebenarnya jiwa dia sudah pun ada di situ.

Dari awal saya nampak dia punya bakat, memang kagum dengan kekuatan semangat dia. Dia seolah-olah pendua saya, jiwa ‘Kak Ani’ ada di situ,” katanya usai membuat persembahan pada Konsert Qalam di Panggung Bangsawan Melaka, di Melaka hujung minggu lalu.

TIDAK melatah apabila ada suaramenamakan penyanyi Aisya Retno sebagai ‘the next’ Ratu Irama Malaysia.

Katanya, kemampuan Aisha dalam mendalami nilai budaya menerusi persembahan nyanyian adalah luar biasa. Biasanya pencapaian sebegitu memerlukan tempoh pembelajaran yang lama.

“Jiwa yang dipersembahkan bukan mudah, biasanya kena melalui satu proses pembelajaran yang lama, macam Aisha dia ada akademi untuk belajar vokal dan teknik.

Jujurnya, saya nampak bakat Aisha Retno boleh pergi jauh, dengan umur dia ketika ini dia mampu mendalami nilai budaya dan etnik. Sekurang-kurang dia dah pergi kepada bidang akademi seni budaya itu sendiri.

“Orang macam inilah kita nak jaga, jangan patahkan semangat dia dan kalau dia betul bersungguh-sungguh setiap tahun buat satu lagu etnik, Insya-Allah dia boleh pergi (menjadi Ratu Irama Malaysia),” katanya.

Tambahnya, dia juga dapat menarik nafas lega apabila terdapat artis popular baharu yang tidak melupakan genre Irama Malaysia meskipun kecenderungan dalam muzik itu ibarat menyongsang arus.

Alhamdulillah dalam industri ini kita sudah ada penggerak itu. Saya bangga, walaupun saya tiada di situ (AJL38) tapi dia ada. Sampai tahap itu,” katanya.

NORANIZA sebak mengenangkan perjalanan kelestarian konsert sulungnya yang menempuh laluan sukar sejak 30 tahun lalu.

Terdahulu, pembukaan Konsert Qalam gamat apabila Noraniza Idris menyanyikan lagu ‘berhantu’ Awallah Dondang yang membawa kembali penonton pada era kegemilangan irama Malaysia dengan pengaruh ghazal dan zapin.

Antara lagu hits lain yang membuatkan penonton tidak duduk diam adalah Hati Kama, Hatinya Tak Tahan, Tinting, Ngajat Tampi, Hala Timur, Dikir Puteri dan Joget Dondang Sayang.

Konsert sulung yang dinanti-nantikan selepas tiga dekad tersebut turut membawakan kelainan apabila Kak Ani menyelitkan misi menggilap bakat muda dalam tarian irama tradisional.

Penonton dibawa masuk ke Alam Nilamsuka yang membentuk kesinambungan untuk 24 buah kumpulan terdiri daripada 400 penari yang berentap di atas pentas sambil mengiringi nyanyian Kak Ani.

NORANIZA menggayakan kira-kira 10 persalinan sepanjang konsert berlangsung.

Pentas Panggung Bangsawan turut meriah dengan bermacam jenis busana ditonjolkan Noraniza apabila mengenakan sekitar 10 persalinan dalam tempoh tiga jam persembahan.

Diselang-seli dengan pelbagai watak dan nilai budaya di negara ini, keterujaan melihat kekayaan seni warisan itu bagaimanapun terhenti seketika apabila Kak Ani menitiskan air mata memberikan penghargaan buat ‘Bapa Irama Malaysia’ Allahyarham Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd. Zain).

Kata Kak Ani, Konsert Qalam juga sebuah janji yang akhirnya berjaya ditunaikan selepas lebih tiga kali perancangan mengadakan konsert bersama Allahyarham terpaksa dilupakan dek cabaran dilalui untuk mempertahankan irama tersebut terlalu berliku. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok