‘Aedy layak menang, lebih 2 dekad dia dalam industri’

“SAYA tak rasa pun kemenangan itu dirampas sebab saya tak menang apa-apa pun.”

Demikian respons pelakon Syafiq Kyle berkenaan kemenangan aktor Aedy Ashraf semasa Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), semalam.

Kata Syafiq atau nama lengkapnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, dia lebih teruja dengan kemenangan rakan seindustri yang lebih lama berkecimpung dalam dunia hiburan.

“Alhamudulillah, saya gembira atas kemenangan Aedy dan dia pun dah terlibat dalam industri seni lebih dari 20 tahun dah.

“Semalam pun saya ada berhubung dengan dia dan dia pun kata dia gembira dengan kemengangan ini,.

“Ini semua adalah rezeki. Macam saya, keluar sampai tiga atau empat filem setahun juga adalah disebabkan rezeki. Saya tak boleh kawal semua itu,” katanya kepada HibGlab semasa sesi penggambaran One Cent Thief 2, hari ini.

Selain itu, Syafiq turut menegaskan bahawa penghasilan naskhah yang bermutu lebih penting berbanding penganugerah yang diterima kerana karya itu akan lebih diingati ramai.

“Kalau dapat penghargaan dari mulut seseorang yang memanggil kita untuk berlakon pun saya anggap itu sebagai anugerah. Bukan sekadar trofi semata-mata sebab trofi ini hanya melambangkan sesuatu sahaja.

“Kalau menang tapi tak bagi apa-apa khidmat kepada industri pun sama juga, tak akan membangunkan industri pun.

“Begitu juga kalau kalah tapi seseorang pelakon itu melakukan sesuatu untuk pembangunan industri lakonan, itu lebih bagus,” ujar.

Melihat perkara tersebut sebagai satu benda positif, Syafiq lebih bersyukur namanya lolos sebagai Top 5.

“Bagi saya, dah tercalon untuk Top 5 bagi kategori tersebut pun saya dah bersyukur. Apatah lagi tercalon sebaris bersama selebriti senior.

“Tak ada langsung rasa kalah atau menang, sesiapa sahaja yang dinobatkan sebagai pemenang saya tumpang gembira,” jelasnya lagi.

Semalam, Aedy berjaya menewaskan empat persaing terdekat iaitu Syafiq Kyle, Kamal Adli, Bella Ngasri dan Pekin dalam kategori Aktor Filem Popular ABP36.

Selepas kemenangan tersebut, rata-rata menyuarakan tidak berpuas hati dengan kejayaan Aedy kerana merasakan Syafiq lebih layak menduduki kerusi pemenang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok