Yoyo kini macam abang, tiada lagi cinta – Rossa

“Dia (anak) lebih suka seperti ini.”

Demikian respons penyanyi Datuk Seri Rossa yang mendedahkan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan enggan dia dan bekas suami, Yoyo rujuk semula sebagai suami isteri.

Dalam masa sama, Rossa atau nama lengkapnya Rossa Roslaina Handiyani, 46, lebih selesa kekal bersahabat dengan pemain dram kumpulan Padi itu sekali gus menganggapnya seperti abang.

“Saya secara peribadi sudah tiada rasa (cinta) dengannya tetapi hanya lebih kepada keluarga.

“Rizky juga tidak pernah memaksa kami untuk kembali hidup bersama, bahkan hubungan kami lebih baik sekarang.

“Saya dan Yoyo seperti abang dan adik. Kami sekarang harmoni sebagai sebuah keluarga,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media All Access to Rossa 25 Shining Years di Pavillion, semalam.

Dalam filem All Access To Rossa 25 Shining Years, Rossa, Rizky dan bekas suaminya itu terbuka membongkar kisah lampau mereka.

Tambahnya lagi, Yoyo atau Surendro Prasety merupakan individu terakhir yang bersetuju untuk terlibat dalam filem dokumentari terbabit.

Yoyo mengambil masa beberapa hari bersetuju untuk mendedahkan kisah peribadi kami dalam dokumentari ini.

“Kenapa baru didedahkan sekarang adalah kerana perkara ini tidak lagi merugikan mana-mana pihak.

Kami berdua sudah bertenang dan saya juga mahu memastikan Rizky bersedia untuk berkongsi perasaan mengenai perceraian kami,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Hati Yang Kau Sakiti itu menyatakan isu perceraian tidak dikongsi sepenuhnya, fokus lebih kepada kembara 25 tahun dalam industri hiburan.

Sebelum ini, Rossa mendedahkan rahsia besar rumah tangganya iaitu menerima berita bakal diceraikan Yoyo ketika bersedia untuk beraksi di sebuah konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Setahun sebelum perceraian difailkan, hakikatnya mereka sudah tidak tinggal sebumbung.

Rossa dan Yoyo mendirikan rumah tangga pada 2004 namun ikatan pernikahan mereka hanya mampu bertahan selama lima tahun.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadan yang kini berusia 18 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok