Pelakon Wanna Ali enggan lagi namanya terheret kontroversi keberantakan rumah tangga pasangan sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura.
Wanna atau nama lengkapnya Nur Syazwana Mohd Ali, 26, juga tidak mahu mengulas lanjut sebarang perkara membabitkan Fattah dan Fazura.
“Harap maaf. Saya memang tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan berkaitan isu ini lagi,” katanya kepada HibGlam.
Terdahulu nama pelakon filem Harimau Malaya: The Untold Journey itu menjadi perbualan hangat apabila membuat perkongsian foto bersama Fattah dalam Instagram Jumaat lalu.
Tindakannya tersebut menarik perhatian khalayak apabila dibuat pada hari sama Fazura memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestasi, Shah Alam.
Disebabkan perkongsian itu juga Wanna dikritik seolah-oleh tidak sensitif dengan keadaan semasa Fattah dan Fazura.
Lebih teruk lagi namanya tiba-tiba dipetik ‘penyondol’ dalam kes Fattah yang dikatakan ada hubungan dengan wanita lain.
Beberapa gambar bersama Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, di media sosial bagi mempromosikan drama Lelaki Melayu Terakhir arahan Amor Rizan terbitan Karya Citra di TV3.
Selain Wanna dan Fattah, drama tersebut turut dibintangi oleh barisan pelakon lain antaranya Datin Seri Umie Aida, Liza Abdullah, Nabil Aqil, Fazlina Ahmad Daud, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zarul Imran. – HIBGLAM