‘Video kematian benar tapi bukan Mak Jenny’

IBU disangka meninggal dunia, penyanyi Nubhan menjelaskan khabar itu tidak benar, sebaliknya video tular mengenai pemergian seorang wanita adalah membabitkan individu lain yang mirip Mak Jenny .

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 38, berkata, dia perlu menjelaskan perkara sebenar selepas menerima banyak mesej dan panggilan bertanyakan kesahihan perkara tersebut.

“Video kematian itu benar tetapi bukanlah ibu saya. Video itu adalah kematian seorang insan bernama Sapiah Abdul Ghani iaitu pada 22 September pukul 10.13 malam.

Kebetulan arwah wanita itu mukanya ada iras wajah ibu saya. Saya dapat banyak panggilan bertanya tentang ibu saya. Itu bukan Mak Jenny.

“Kepada semua, jangan salah sangka dan jangan fikir itu adalah ibu saya sebab pada hantaran itu sendiri tertera nama arwah,” katanya dalam hantaran TikTok.

Begitupun, ahli perniagaan itu yakin keluarga arwah tiada niat untuk mengaitkan ibunya, Badariah Omar, 78, dengan hebahan berita kematian tersebut.

Menerusi hantaran sama Nubhan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan besar dilalui mereka.

Saya pun terkejut, saya ingat orang nak mempermain-mainkan ibu saya tetapi setelah saya tengok balik video berkenaan, memang benar ada kematian.

“Namun saya pasti keluarga arwah tiada sebarang niat buruk. Saya pun tak rasa hantaran itu berniat mempermainkan mana-mana pihak dan saya menghormati ahli keluarga arwah,” ujarnya.

Menurut Nubhan lagi, ibunya kini dalam keadaan sihat namun bakal menjalani pembedahan membabitkan masalah lututnya dalam waktu terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok